Liga Super Malaysia Berita

Gaji hampir selesai dibayar, Perak II tidak bubar, tapi bagaimana nasib Mehmet?

Pasukan Perak berdepan dengan pelbagai jenis krisis sejak kebelakangan ini.

Peletakan jawatan Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak dan Presiden Perak FA disusuli dengan pendedahannya bahawa pasukan kendaliannya dibelenggu tunggakan gaji RM3.8 juta.

Ia secara tidak langsung menjejaskan proses penswastaan kelab dan pemisahan FA ke FC, malah logo baharu pasukan turut menjadi isu sehingga mendapat perhatian Sultan Perak.

Kemudian, muncul spekulasi bahawa Perak II akan dibubarkan kerana kontrak para pemain masih belum dimuktamadkan.

Bagaimanapun, Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed tampil menafikannya, namun mengakui Perak II tidak akan menandatangani pemain import pada musim ini.

“Alhamdulillah pasukan ­Perak FC II dapat dikekalkan dan akan beraksi dalam Liga Perdana bermula Mac ini selepas kita mengatasi beberapa kekangan,” katanya kepada Utusan.

“Bagaimanapun pasukan ini akan berteraskan untuk pembangunan. Justeru, tiada pemain import, sebaliknya ia medan pendedahan pemain muda tempatan.

“Kita sudah menandatangani kontrak Syamsol dan dia akan memulakan tugasan bagi membuat persiapan untuk menghadapi kempen Liga Malaysia.”

Khairul Shahril juga menjelaskan, Perak II dapat dikekalkan kerana tunggakan gaji sebulan setengah pemain dan pegawai Pafa berjumlah RM3. 8 juta sudah diilunaskan.

“Tiada lagi tunggakan gaji separuh November dan ­gaji penuh bulan Disember. Ia sudah dilunaskan. Cuma kini kita sedang berusaha membayar gaji bulan Januari.

“Saya tidak tahu dari mana mereka dapat maklumat me­ngenai gaji belum dibayar itu.

“Saya akui diperingkat awal ada sedikit masalah menyebabkan berlaku kelewatan, bagaimanapun ia telah dibereskan.”

Bagaimanapun, Perak sekali lagi dikaitkan dengan spekulasi terbaru apabila ketua jurulatih, Mehmet Durakovic dilaporkan akan meninggalkan pasukan itu sebelum saingan Liga Malaysia bermula 5 Mac nanti.

Spekulasi itu menyatakan bahawa Perak sedang berunding dengan Mehmet untuk menamatkan kontraknya, walaupun kontraknya akan tamat pada November tahun ini, malah beliau dilaporkan tidak hadir dalam sesi latihan.

Bagaimanapun Utusan melaporkan, Mehmet kekal menjadi ketua jurulatih Perak ketika ini.

“Setakat ini Mehmet tidak pernah memaklumkan mengenai hasrat meninggalkan pasukan,” lapor Utusan menurut sumber yang diperoleh.

“Begitu juga tiada perkhabaran dari Perak FC bahawa jurulatih itu akan digantikan.

“Saya tahu ada perbincangan antara jurulatih itu dengan Perak FC, Jumaat lalu tetapi tidak tahu apa butirannya.”

Mehmet Durakovic dilantik sebagai jurulatih Perak bagi menggantikan Karl Heinz Weigang pada pertengahan 2017.

Sepanjang bersama Perak, beliau membantu pasukannya menjuarai Piala Malaysia 2018 dan menjadi naib juara Piala FA 2019.