Luar Negara Berita

Disebabkan tuduhan rasuah, Messi bakal digantung

Komen pedas Lionel Messi yang menuduh badan induk dan pengadil Copa America mengambil ‘rasuah’ selepas Argentina mengalahkan Chile 2-1 pada penentuan tempat ketiga mendapat perhatian badan pengelola kejohanan tersebut, CONMEBOL.

Messi sebelum ini enggan mengambil pingat tempat ketiga dan berkata bahawa “Copa ditubuhkan untuk Brazil, diharapkan para pengadil dan VAR tidak akan mempengaruhi perkara [tersebut].”

Beliau sebelum ini turut memberi komen tentang cara pengadil mengawal perlawanan selepas Argentina tewas di tangan Brazil pada saingan separuh akhir.

Komen pedas pemain Barcelona telah mendapat perhatian CONMEBOL dan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan mereka berkata ; “Tuduhan tersebut mewakili kurangnya rasa hormat kepada pihak lawan, semua pemain bola sepak yang terlibat dan beratus-ratus orang yang profesional di CONMEBOL, institusi yang sejak 2016 telah berusaha gigih untuk telus, bersikap profesional dalam mengembangkan bola sepak Amerika Selatan.”

Jika didapati bersalah, Messi bakal digantung selama dua tahun dan bakal terlepas aksi kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan Copa America 2020 di Argentina dan Colombia.