Luar Negara

Ho Chi Minh City FC berjaya ikat bekas pemain muda Manchester United

Ho Chi Minh City FC telah mengesahkan bahawa bekas pemain muda Man United, Rodrigo Possebon akan menyarung jersi mereka untuk musim 2018.

Berita ini sekaligus mengesahkan spekulasi yang mengatakan bahawa Possebon berminat untuk mencuba nasib di Asia Tenggara dan mahu meninggalkan Brazil.

Bulan lepas, Possebon dikaitkan dengan perpindahan ke Kelantan apabila panel pengurusan kejurulatihan Kelantan, Syed Abdullah Syed Mahmood, mendedahkan perkara tersebut kepada sebuah akhbar di Malaysia.

“Saya tidak dapat mengesahkan perkara itu cuma apa yang boleh saya katakan, Possebon kini berada dalam radar Kelantan dan kami berminat mengikat pemain itu untuk jangka masa panjang kerana umurnya baru 28 tahun,” kata Syed Abdullah kepada Utusan Malaysia.

“Hanya Presiden KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan) Bibi Ramjani boleh mengesahkan sama ada Kelantan benar-benar akan mengambil pemain ini selepas menerima laporan daripada panel pemilihan.

“Panel pemilihan terdiri daripada jurulatih sementara (Sathit Bensoh), Setiausaha Agung (Hus­sin Deraman) dan empat lagi, termasuk saya,” tambah beliau.

 

Namun, presiden KAFA, Bibi Ramjani terus mengeluarkan kenyataan yang menafikan kesahihan berita tersebut, sebelum mendedahkan bahawa kos membawa masuk pemain seperti Possebon terlalu mahal untuk KAFA.

Walaupun menyertai Man United ketika berumur 18 tahun, Possebon hanya berjaya membuat tiga penampilan rasmi untuk pasukan gergasi England itu sebelum pulang ke Brazil untuk bermain bersama Santos pada tahun 2010.