Liga Super Malaysia

Selepas Evan dan Ilham, Ferdinand Sinaga pula berhijrah ke Malaysia untuk sertai Kelantan

Ferdinand Sinaga sah menjadi pemain Indonesia ketiga untuk berhijrah ke Malaysia buat musim 2018 selepas Kelantan FA mengumumkan perpindahannya daripada PSM Makassar hari ini.

Pihak pengurusan The Red Warrior mengadakan sidang media di Kota Bharu hari ini untuk membuat pengumuman tersebut. Penyerang Indonesia itu sendiri hadir dan sempat mendedahkan sebab di belakang pilihannya untuk menyertai Kelantan.

“Kelantan pada 2012 berjaya mendapatkan ‘treble’ dan mereka mempunyai ‘supporter’ (penyokong) yang keras dan itu, saya suka. Saya suka kerana saya sendiri mempunyai karakter yang keras, jadi mungkin bagus untuk saya.

“Harapannya, kemasukan saya berserta pemain-pemain lokal (tempatan) terbaik di Malaysia dan juga empat pemain import lain, kita bisa mengangkat pasukan ini lagi. Tadi, presiden kita sudah beri target yang besar tapi dalam hati pemain, target kami lebih besa,” tambah Ferdinand.

Ferdinand, yang memulakan kariernya bersama skuad muda Persib Bandung, sudah bermain untuk 10 kelab berbeza di Indonesia setakat ini, termasuk Sriwijaya FC, Pelita Jaya dan juga Semen Padang.

Musim lepas, dia berjaya menjaringkan 12 gol dan mencatat  3 ‘assists’ –  rekod yang menjadikannya penyerang tempatan terbaik di Liga 1 Indonesa, di samping Samsul Ariff daripada Persela Lamongan.