Liga Super Malaysia

“Griezmann Indonesia” – Apa yang boleh penyokong TRW jangkakan daripada Ferdinand Sinaga

Kelantan telah secara rasmi membawa masuk Ferdinand Sinaga untuk mengisi slot import ASEAN mereka, sekaligus melengkapkan kuota lima pemain import untuk musim 2018.

Bekas bintang PSM Makassar itu hadir dalam suatu sidang media yang diadakan di Kota Bharu hari ini, di mana pengumuman tersebut dibuat. Spekulasi ini mula tersebar beberapa hari lalu selepas Kelantan gagal mendapatkan Misagh Bahadoran daripada Global FC dan perpindahan tersebut akhirnya termeterai hari ini.

Ferdinand bukan nama yang asing di pentas bola sepak Indonesia kerana dia sudah bermain untuk 10 kelab berbeza setakat ini, termasuk pasukan gergasi seperti Persib Bandung dan juga Sriwijaya FC. Selain itu, Ferdinand sudah turut membuat 17 penampilan untuk skuad kebangsaan Indonesia dan juga memainkan peranan yang besar untuk membantu mereka mara ke final Piala AFF Suzuki pada tahun 2016.

ANTOINE GRIEZMANN INDONESIA

Kredit Foto: indosport

Tidak mustahil untuk mengatakan bahawa Ferdinand merupakan antara penyerang Indonesia yang cukup rajin di atas padang. Dia bukan sahaja boleh bermain sebagai penyerang utama, malah bekas bintang PSM Makassar itu turut mampu beroperasi di bahagian sayap. Untuk memahami corak permainnya dengan lebih senang, dia boleh dikatakan adalah ‘Antoine Griezmann’ versi Indonesia.

“Ferdinand adalah penyerang Indonesia kegemaran saya, terutamanya apabila dia bermain dengan Persib Bandung pada tahun 2014. Mereka menjuarai liga pada tahun itu dan Ferdinand bermain dengan cukup baik. Dia mempunyai keazaman yang tinggi di atas padang dan cukup fleksibel untuk bermain di mana-mana posisi penyerang, lebih kurang seperti Antoine Griezmann. Namun, Ferdinand merupakan pemain yang cukup beremosi di atas padang. ” ujar sahabat kami di Football Tribe Indonesia, Isidorus Rio. .

MISI BARU UNTUK 2018

Kredit Foto: Kompas Bola

Ferdinand memilih untuk menyertai Kelantan, walaupun menerima tawaran untuk kekal bersama PSM Makassar di Liga 1 Indonesia. Antara sebab yang mungkin mendorongnya untuk berhijrah adalah gaji yang lebih lumayan, tetapi penyerang yang berusia 30 tahun ini turut mempunyai cabaran yang besar.

Walaupun sebahagian daripada skuad Indonesia yang mara ke final Piala AFF Suzuki pada tahun 2016, dia tidak menerima sebarang panggilan ke skuad kebangsaan Indonesia sepanjang tahun lepas. Dan jika dia mahu bermain di pentas AFF Suzuki pada hujung tahun ini, Ferdinand Sinaga perlu bangkit membuktikan dirinya semula.

“Memandangkan usianya semakin lanjut, Ferdinand jelas memerlukan cabaran yang baru. PSM adalah kelab yang bagus dengan sejarah yang panjang. Namun peluang untuk berhijrah ke liga di luar negara akan memberikan cabaran yang unik dari segi kekuatan mental.

“Dia perlu membuktikan dirinya melalui cabaran ini untuk diterapkan kembali ke dalam skuad kebangsaan. Saingan sudah semakin sengit sejak Ilija Spasojevic menjadi pemain naturalisasi dan ini merupakan peluang yang bagus untuk Ferdinand bangkit semula,” tambah Isidorus Rio.

Untuk mendapatkan gambaran yang lebih lanjut tentang corak permainan Ferdinand Sinaga, saksikan video kompilasi kesemua gol yang dijaringkan oleh bekas pemain PSM Makassar ini sepanjang 2017.