Liga Super Malaysia

Rufino tidak sabar untuk beraksi bersama Evan Dimas dan Ilham Udin

Penyerang import Selangor, Rufino Segovia tidak sabar untuk beraksi bersama Evan Dimas dan Ilham Udin, selepas Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI) memberikan lampu hijau untuk mereka bertolak ke Malaysia malam semalam.

Ilham Udin dijangka akan digandingkan bersama Rufino di bahagian serangan dan penyerang Selangor itu mengakui bahawa dia ada menyaksikan video kedua-dua pemain itu di YouTube untuk mengetahui corak permainan mereka.

“Saya memang teruja untuk mula berlatih dengan mereka kerana kita perlu membina kesefahaman secepat mungkin. Setakat ini, memang saya tak tahu banyak tentang Evan dan Ilham tapi saya ada menyaksikan video-video mereka di YouTube,” kata Rufino kepada Football Tribe Malaysia.

“Berdasarkan apa yang saya lihat, mereka memang pemain yang bagus dan apabila mereka menyertai latihan secara rasmi minggu depan, saya boleh mengenali gaya permainan mereka dengan lebih terperinci,” tambah bekas penyerang Kitchee SC itu.

Rufino merupakan satu-satunya pemain import yang dikekalkan daripada skuad Red Giants musim lepas. Selain Evan Dimas dan Ilham Udin, satu lagi bekas pemain Liga 1 Indonesia yang akan menyertai skuad utama Selangor adalah William Pacheco.

Evan dan Ilham dijangka tiba di Malaysia pada hari Sabtu ini, namun mereka hanya akan memulakan latihan rasmi bersama pasukan Selangor pada hari Isnin depan.