Malaysia Liga Super Malaysia

PSSI akhirnya beri lampu hijau untuk Evan Dimas dan Ilham Udin sertai Selangor

Evan Dimas dan Ilham Udin akan melaporkan diri untuk latihan pra-musim bersama Selangor dalam masa terdekat selepas PSSI mengumumkan bahawa mereka sudah memberi lampu hijau kepada kedua-dua pemain itu untuk berhijrah ke Liga Super Malaysia.

Pengumuman tersebut dibuat malam tadi, selepas perbincangan terperinci di antara wakil PSSI dan juga Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal.

“Selangor FA bersetuju untuk mematuhi cadangan yang diberikan oleh presiden PSSI berkaitan penyesuaian jadual dan juga pelepasan pemain untuk Piala Asia. Saya berterima kasih atas sambutan yang telah saya terima di sini,” kata Subahan, menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman web rasmi PSSI.

Isu ini mula menjadi besar apabile Evan dan Ilham gagal melaporkan diri untuk latihan pra-musim bersama Selangor. Tidak lama selepas itu, presiden PSSI, Edy Rahmayadi mengeluarkan kenyataan untuk menentang perpindahan mereka ke Liga Super Malaysia.

Selain berkata bahawa perpindahan ini akan memberi peluang kepada ketua jurulatih Malaysia untuk mempelajari corak permainan Evan dan Ilham, Edy turut risau bahawa Selangor tidak akan melepaskan kedua-dua pemain untuk Piala Asia, yang akan berlangsung di Indonesia tahun ini.

Namun isu tersebut akhirnya selesai malam ini dan Edy Rahmayadi berharap bahawa hubungan baik di antara PSSI, Selangor dan FAM akan terus dikekalkan.

“PSSI berterima kasih atas kunjungan dan persetujuan Selangor untuk mematuhi cadangan kami, sekaligus menyedari betapa pentingnya posisi Indonesia sebagai tuan rumah Piala Asia 2018. Kami berharap hubungan PSSI dengan Selangor dan juga FAM tetap terjaga dan semakin erat sebahagian daripada keluarga besar sepakbola di Asia Tenggara,” kata Edy.