Liga Super Malaysia Berita

Rasmi: Bintang Selangor sah menyertai Johor DT untuk musim 2018

Johor Darul Ta’azim telah mengesahkan bahawa Adam Nor Azlin akan menyertai mereka daripada pasukan Selangor untuk musim 2018.

Perpindahan ini diumumkan oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest melalui laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers petang tadi.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan rasa bangga mengumumkan kehadiran pemain muda baharu, Adam Nor Azlin. Kami amat teruja beliau bermain bersama pasukan kami. Beliau merupakan sebahagian pelan jangka panjang kami. Beliau memahami projek bola sepak kami,” kata Prest.

Kredit Foto: Johor Southern Tigers

“Seseorang yang memiliki karakter untuk melakukan yang terbaik, berkembang sebagai pemain dan mempunyai keinginan untuk memenangi kejuaraan. Kami gembira Adam menjadi sebahagian daripada projek besar kami,” tambah beliau.

Adam Nor Azlin memulakan kariernya sebagai seorang penyerang, namun dalam masa 12 bulan lepas, dia mula membina reputasi sebagai pemain pertahanan yang cukup baik.

Selain menjadi antara watak yang paling penting dalam skuad Selangor pada musim lepas, dia turut memainkan peranan yang besar dalam skuad Datuk Ong Kim Swee yang berjaya melayakkan diri ke Piala Asia B-23 tahun.