Pemilik Johor DT, Tunku Ismail telah mendedahkan senarai lima pemain tempatan yang menjadi sasaran Johor Darul Ta’azim bagi musim 2018.
Setelah berjaya meraih kejuaraan Liga Super buat kali ke-4, pasukan Southern Tigers itu sudah mula merancang untuk musim depan. Kali ini, perancangan mereka melibatkan lima pemain muda terbaik di tanah air.
Menurut laporan eksklusif FourFourTwo Malaysia, TMJ berkata: “Kami mahu membawa masuk banyak pemain muda. Setakat ini, kami mahu menandatangani Adib Zainuddin… mungkin Syamer Kutty, S. Kumaahran, Adam Nor Azlin dan juga Syafiq Ahmad.
“Mungkin saya tidak akan membawa mereka ke sini dengan segera. Saya telah memberitahu mereka bahawa mereka tidak akan bermain dalam 30 perlawanan musim depan.
“Tapi, pemain senior kita tidak akan berada di JDT selamanya dan pemain muda ini adalah masa depan kita. Sudah tentu mereka akan diberi peluang. Orang kata saya merosakkan para pemain tapi saya berjanji kita akan mendidik dan menjadikan mereka pemain yang lebih bagus.
“Cuba lihat Marco Asensio di Real Madrid. Dia dipinjamkan ke kelab lain beberapa kali dan hari ini, dia sudah menjadi pemain yang cukup penting untuk Madrid. Pemain baru kita akan diberi pilihan untuk dipinjamkan ke kelab lain juga,” tambah TMJ.
Lima pemain tersebut memainkan peranan yang cukup besar dalam skuad Malaysia B-23 tahun yang berjaya melayakkan diri ke Piala Asia B-23 tahun, sebelum mara ke final Sukan SEA pada bulan Ogos.