Sukan SEA

Adam berharap dapat peluang berhijrah ke luar negara jika menang emas Sukan SEA

Pemain pertahanan skuad bawah 22 tahun Malaysia, Adam Nor Azlin berharap pingat emas Sukan Asia Tenggara (SEA) dengan Malaysia membolehkan beliau mengambil langkah lebih dekat untuk memenuhi impiannya untuk beraksi di luar negara.

Menjelang perlawanan menentang Myanmar, Malaysia berada dalam kedudukan terbaik untuk melayakkan diri ke separuh akhir selepas kemenangan ke atas Brunei dan Singapura dalam Kumpulan A. Tetapi bagi Adam, misinya lebih daripada sekadar mendapatkan pingat emas.

Beliau mahu menggunakan acara berbilang sukan dua tahun itu sebagai medan untuk memikat ejen bola sepak.

“Terdapat beberapa pemain Malaysia yang telah pergi dan bermain di luar negara, tetapi kembali semula selepas beberapa bulan, disebabkan oleh hal peribadi yang tidak dapat didedahkan,” kata Adam kepada ESPN FC.

“Bagi saya, bermain di luar negara adalah untuk mengembangkan kerjaya, dan saya mahu membuktikan bahawa saya mampu membawa kerjaya saya ke peringkat yang lebih tinggi. Scout akan mencari bakat baru di sini, ini merupakan peluang terbaik untuk memikat mereka.”  

” Tumpuan saya buat masa kini hanyalah di Sukan SEA, dan kita masih meneruskan momentum kemenangan dengan dua kemenangan, dan penting untuk terus kekal konsisten mengikut taktikal jurulatih. Semangat di dalam pasukan sangat bagus dan kami berharap dapat menewaskan Myanmar,” katanya.

Nazmi Faiz dan Wan Zack Haikal adalah antara dua pemain Malaysia yang pernah bermain di Portugal dan Jepun dalam beberapa tahun lalu, tetapi kedua-duanya tidak bertahan sampai setahun. Bagi Adam, tanda-tanda ini menunjukkan bahawa pemain Malaysia masih ada potensi untuk menyertai mana-mana kelab luar negara.

Adam pada mulanya beraksi di posisi serangan, pemain berusia 21 tahun itu telah ditukar posisi kepada pemain tengah Selangor oleh jurulatih P. Maniam untuk separuh kedua liga domestik. Dia telah digunakan dalam posisi yang sama oleh Ong Kim Swee di Sukan SEA, dengan lesen untuk bergerak ke hadapan.

Beliau juga mungkin berada dalam kesebelasan utama ketika Malaysia menghadapi Myanmar malam ini. Myanmar menjadi pasukan pertama layak ke separuh akhir selepas mengalahkan Brunei 6-0 pada hari Jumaat.

“Myanmar mempunyai pemain yang sangat berpengalaman dalam bola sepak, penting untuk mengikuti arahan jurulatih dengan teliti bagi menangani mereka,” kata Adam.

Malaysia kelihatan semangat kerana mereka menjalani latihan di Shah Alam pada hari Jumaat sebelum sesi tertutup pada hari Sabtu. Selepas menentang Myanmar, Malaysia akan melengkapkan perlawanan Kumpulan A mereka dengan menentang Laos pada hari Rabu ini.