Kolum Eropah

Zidane mahu bertemu Liverpool

Ketua Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane berseloroh dengan mengatakan pasukan bimbingannya tiada masalah untuk menyingkirkan juara bertahan, Liverpool pada pusingan 16 pasukan terakhir lapor Goal.com.

Real Madrid yang mudah menewaskan Club Brugge 3-1 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan awal pagi tadi telah pun melayakkan diri sebelum perlawanan bermula. Zidane mengambil keputusan untuk merehatkan hampir separuh daripada pemain skuad utama untuk memberi peluang buat pemain muda beraksi.

Los Blancos berada di kedudukan kedua kumpulan A dibelakang pasukan gergasi Perancis, Paris Saint Germain (PSG) dengan memungut 11 mata secara keseluruhan. 

Undian bagi pusingan 16 pasukan terakhir akan diadakan pada Isnin depan. Real Madrid selaku naib juara kumpulan A berkemungkinan besar akan bertemu dengan juara kumpulan yang lain termasuklah Liverpool.

Zidane turut gembira dengan keputusan perlawanan awal pagi tadi dan mengakui anak buahnya mengalami kesukaran diawal permainan untuk menyesuaikan diri. 

‘Kami gembira dengan kemenangan ini dan cara permainan yang telah dipamerkan’, katanya lagi.

Dalam pada itu, pengendali dari Perancis itu juga mempertahankan keputusannya untuk menurunkan penyerang, Luka Jovic yang dikatakan gagal menunjukkan impak yang diharapkan.

‘Saya tidak rasa dia (Jovic) hilang sentuhan. Penampilan di setakat ini masih kurang. Seorang pemain perlu bermain secara kerap untuk memperbaiki kelemahan’, tegasnya lagi.

Untuk rekod, Jovic sekadar menjaringkan satu gol pada musim ini selepas sembilan penampilan.