
Pasukan gergasi Jerman, Bayern Munich menamatkan saingan kumpulan Liga Juara-Juara Eropah dengan penuh bergaya selepas menumbangkan Tottenham Hotspur 3-1 di laman sendiri awal pagi tadi.
6 out of 6 for 1st time ✅
Most prolific away team ever (16 goals) ✅
2nd highest number of goals ever in group stage (24) ✅🔴 Bayern this #UCL season 👏👏👏 pic.twitter.com/Z9wJVtFiM8
— UEFA Champions League (@ChampionsLeague) December 11, 2019
Pengendali Bayern Munich, Hans Dieter Flick merehatkan pemain utama seperti Robert Lewandowski pada pertemuan menentang Spurs memandangkan pasukannya telah mengesahkan slot ke pusingan 16 pasukan terakhir bersama-sama Spurs.
Tiga gol pasukan tuan rumah masing-masing disumbangkan oleh Kingsley Coman, Thomas Mueller, dan Philippe Coutinho sekaligus memberikan kemenangan keenam daripada enam perlawanan buat penyandang juara Bundesliga itu. Gol saguhati Spurs dijaringkan oleh Ryan Sessegnon yang mana gol tersebut adalah jaringan pertamanya buat pasukan utara London tersebut.
Disamping itu, rekod kemenangan keenam-enam perlawanan itu adalah yang pertama dikecapi oleh Bayern Munich. Selain itu, Bayern juga dinobatkan sebagai juara peringkat kumpulan yang terbaik dalam sejarah saingan Liga Juara-Juara Eropah dengan memungut 18 mata maksimum dan memiliki perbezaan gol jaringan berjumlah 19 jaringan.
Sebelum ini, Bayern turut mencatat dua kemenangan besar ketika membelasah Tottenham Hotspur 7-2 dan membenam Red Star Belgrade 6-0.
Dalam pada itu, Robert Lewandowski mendahului senarai penjaring terbanyak dengan menyumbat 10 gol dan diikuti oleh penyerang muda berbisa pasukan Red Bull Salzburg, Erling Braut Haaland dengan lapan jaringan gol.