Premier League Berita

Viva Ronaldo, kepulangan manis buat Man United

Di saat Cristiano Ronaldo melompat, memutarkan dirinya dan mendarat dengan mendepa kedua-dua tangannya, ia disambut dengan kegirangan oleh penonton di Old Trafford.

Dua jaringan gol memberikan Ronaldo dua kali peluang untuk meraikan gol selepas membantu Man United meraih kemenangan 4-1 ke atas Newcastle.

Ternyata persembahan yang ditampilkan Ronaldo apabila pertama kali memakai jersi United selepas lebih 10 tahun, langsung tidak mengecewakan.

Ramai yang memakai jersi bertatahkan nama Ronaldo, malah beliau juga disambut dengan nyanyian “Viva Ronaldo”.

Seolah-olah Ronaldo tidak pernah meninggalkan Old Trafford, namun beliau mengakui sebaliknya.

“Sebenarnya, saya sangat gugup,” kata Ronaldo selepas perlawanan.

“Mungkin saya tidak menunjukkannya tetapi saya sebenarnya rasa gugup.”

Old Trafford dilimpahi dengan peminat buat kali kedua sejak wabak Covid-19, dengan pengumuman “Welcome home” menunjukkan bahawa mereka hadir kerana mahu menyaksikan kembalinya bintang kesayangan mereka.

“Ada banyak harapan terhadapnya dan beliau membuktikannya,” kata Ole Gunnar Solskjær mengenai Ronaldo.

“Beliau masih penjaring gol yang menakjubkan dan klinikal. Beliau sentiasa menghidu saat baik untuk menjaringkan gol.”

Ronaldo pada awal perlawanan terlepas beberapa peluang untuk menjaringkan gol, dan terpaksa menunggu sehingga minit tambahan separuh masa pertama untuk menjaringkan gol pertamanya.

United yang mengatur serangan ketika itu cuba disudahkan oleh penyerang muda, Mason Greenwood namun sepakannya gagal disambut baik oleh penjaga gol Newcastle, Freddie Woodman memberi peluang kepada Ronaldo untuk menolak masuk bola ke gawang gol.

“Ia lebih dari itu,” kata Solskjær. “Ronaldo sudah jangkakan bola itu akan terpantul.”

Namun, terdapat saat kegelisahan apabila pertahanan United mudah ditembusi apabila Javier Manquillo menyamakan kedudukan untuk Newcastle pada minit ke-55.

Bagaimanapun, ia tidak kekal lama apabila United kembali mendahului di depan sekali lagi menerusi Ronaldo. Luke Shaw melakukan larian pantas ke tengah sebelum melorongkan bola kepada Ronaldo yang mengambil peluang untuk merembat bola betul-betul melepasi celah kangkang Woodman.

Dan sekali lagi, kali ini di hadapan Stretford End, Ronaldo berteriak “Siuuu.”

“Ronaldo sudah menjadi pemain yang jauh lebih baik,” kata Solskjær. “Kadang-kadang beliau boleh beraksi di bahagian sayap. Kami tidak akan menggunakannya seperti alat pemusnah. Beliau lebih sesuai bergerak ke sana sini.”

Bruno Fernandes menjaringkan gol jarak jauh pada minit ke-79 dan Jesse Lingard pada masa tambahan separuh masa kedua cukup untuk mencatatkan kemenangan buat United.

Namun, tugasan yang lebih berat akan datang untuk Ronaldo dan United.

Kepulangan Ronaldo hanya akan dianggap berjaya jika beliau membawa trofi Liga Perdana Inggeris kembali ke United untuk pertama kalinya sejak 2013.

Ferguson, yang duduk di kotak pengarah, kelihatan kagum dengan kembalinya penyerang yang beliau tandatangani sebagai remaja pada tahun 2003 dan kembali untuk merampas semula takhta dari Man City.

“Saya berasal dari Manchester,” kata Ronaldo. “Saya tiba di sini pada usia 18 tahun dan mereka melayan saya dengan cukup luar biasa. Inilah sebabnya mengapa saya kembali. Saya sangat bangga berada di sini dan saya mahu menang.”