Liga Super Malaysia Berita

Guilherme de Paula bakal sertai Perak

Penyerang prolifik, Guilherme De Paula dilaporkan bakal menyertai Perak bagi musim 2020.

Selepas melepaskan penyerang import Ronaldo dan mengekalkan Careca, Perak sememangnya memerlukan seorang penyerang berkualiti.

Berita perpindahan De Paula ke Perak dikuatkan lagi dengan sebuah gambar yang dimuatnaik di laman media sosial yang menunjukkan De Paula dan Menteri Besar Perak, Mohd Faizal Azumu yang dipercayai memegang kontrak baharu.

Pemain berusia 33 tahun itu cukup dikenali ramai ketika beraksi di Selangor dan kemudiannya Kuala Lumpur selama tiga musim.

Sepanjang tiga tahun di KL, De Paula berjaya menjaringkan 48 gol dalam 57 penampilan, namun tetap gagal menyelamatkan The City Boys daripada tersingkir ke Liga Perdana.

Awal minggu ini, De Paula dilihat sedang menjalani latihan pada sesi pra-musim JDT di Johor Bahru, namun Perak nampaknya bertindak pantas menawarkan kontrak kepada pemain Brazil itu.

Kehadiran De Paula sememangnya dinanti-nantikan peminat Perak, terutamanya selepas melalui musim yang suram tanpa sebarang piala, malah kehilangan Brendan Gan yang berhijrah ke Selangor.