Liga Super Malaysia Berita

Kelantan selesai bayar tunggakan gaji Abou Bakr Al Mel hampir RM1 juta

Kelantan sudah melunaskan tunggakan gaji bekas pemain import Lebanon, Abou Bakr Al Mel yang luar biasa besar iaitu bernilai hampir RM1 juta.

Penasihat Undang-Undang Kelantan, Shairuz Sheffie dalam kenyataan berkata sejumlah RM969,283 telah dibayar kepada pemain itu dalam dua kali pembayaran iaitu pada 15 Okt dan 17 Dis lepas.

“Kelantan FC ingin mengumumkan bahawa kami telah berjaya melunaskan pembayaran hutang tertunggak sebanyak USD233,000.00 (RM969,283.00) kepada Abou Bakr.

“Hutang itu dibayar dalam dua bahagian iaitu USD133,000 (15 Okt) dan USD100,000 (17 Dis) kepada Peguamcara, Eleven & Law.”

Abou Bakr menyertai Kelantan pada musim 2017 bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Mohammed Ghaddar yang berhijrah ke JDT ketika itu.

Ini bermakna, Kelantan telah berjaya menyelesaikan tunggakan gaji dua pemain import pada minggu yang sama, selepas melunaskan sepenuhnya tunggakan gaji Cassio yang berjumlah RM679,263.20.