Liga Super Malaysia Berita

TMJ kagum dengan Danial, Danial teruja diiktiraf TMJ

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan rasa kagumnya terhadap pemain baharu JDT, Danial Amier Norhisham.

Beliau berkata, pemain berusia 23 tahun itu sedar bukan mudah untuk beraksi di JDT kerana akan menghadapi banyak persaingan, tetapi itu dilihat tidak menjadi penghalang kepada Danial.

“Danial Amier merupakan pemain yang bukan sahaja berbakat, malah berani menyahut cabaran untuk berada di JDT,” kata TMJ dalam sidang media.

“Apa yang saya kagum dengan Danial Amier adalah semangatnya yang kuat. Bagi saya dia buat keputusan sangat tepat untuk berada di JDT.”

Danial mengakui teruja apabila TMJ berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan khidmatnya dan beliau berharap dapat meningkatkan lagi tahap permainannya di JDT.

“Ia satu pengiktirafan daripada TMJ dan tidak semua pemain mendapatnya. Ia memberi motivasi buat saya untuk meningkatkan tahap permainan. Saya perlu bekerja keras kerana untuk berada dalam skuad utama bukanlah tugas mudah. Lebih-lebih lagi bagi posisi tengah, JDT dibarisi ramai pemain hebat.

“Sebelum saya ke JDT, rakan-rakan seperti Safawi Rasid, Nazmi Faiz dan beberapa pemain senior lain memberi maklumat terperinci mengenai pasukan dan ia menguatkan keinginan saya untuk sertai JDT bagi meneruskan karier sebagai pemain profesional, di peringkat lebih tinggi.”

Danial menandatangani kontrak selama dua tahun dan akan menyarung jersi nombor 16.