Liga Super Malaysia Berita

JDT, Perak bersaing kelab paling popular di Asia Tenggara

Dua pasukan Liga Malaysia iaitu JDT dan Perak dicalonkan sebagai antara kelab paling popular di Asia Tenggara.

Menurut AFC, kedua-dua pasukan ini dipilih kerana mendapat undian tertinggi ketika pencalonan untuk kelab paling popular di Malaysia.

JDT meraih undian tertinggi peminat hasil daripada kejayaan demi kejayaan dalam padang termasuklah memenangi Liga Super tujuh kali berturut-turut.

Mereka juga meraih pencapaian di luar padang seperti pembinaan Stadium Sultan Ibrahim malah bekerjasama dengan pelbagai jenama antarabangsa, termasuklah UNICEF baru-baru ini.

Perak pula merupakan satu-satunya pasukan yang tidak pernah tersingkir dari Liga Super sejak ia diperkenalkan pada 2004.

Walaupun Perak jarang memenangi sebarang kejuaraan apabila baru sahaja menamatkan kemarau trofi selama 12 tahun dengan memenangi Piala Malaysia 2018, sokongan terhadap The Bos Gaurus tetap memberangsangkan.

JDT dan Perak bersaing bersama 8 lagi pasukan iaitu Persija, Persib, Persebaya dan Arema dari Indonesia, Hanoi FC dan Hoang Anh Gia Lai dari Vietnam, Buriram dari Thailand dan Western Sydney Wanderers dari Australia.

Dua pasukan yang meraih undi terbanyak akan bersaing di pentas akhir bagi mencari kelab paling popular di Asia.

Ketika ini, Persija meraih undi paling tinggi diikuti JDT di tempat kedua.