Liga Super Malaysia Berita

Beto digantung dua perlawanan, Jack Hindle hanya diberi amaran keras

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu telah mengumumkan tindakan yang diambil kepada beberapa pemain dalam saingan Liga Malaysia.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM Kali Pertama Bagi Penggal 2021-2025.

Pemain tengah PJ City, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri digantung dua perlawanan setelah didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan pada perlawanan Liga Super 2021, PJ City FC lwn Melaka United FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 10 Mac lalu.

Ini bermakna beliau akan terlepas perlawanan antara PJ City FC bertemu Terengganu FC (2 April 2021) dan Kuala Lumpur City FC (7 April 2021).

Ia atas alasan tindakannya yang berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila terjatuh di dalam kotak penalti dan memegang kaki seolah-olah telah dikasari oleh pemain lawan walaupun tiada pemain pihak lawan yang menyentuhnya dan ini telah mewujudkan situasi ”simulation”.

“Pemain turut diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Hukuman ini tidak boleh dirayu.”

Turut menerima nasib sama ialah pemain Selangor 2, Hein Htet Aung yang digantung satu perlawanan iaitu Perak FC II melawan Selangor FC 2 (2 April 2021).

Ini akibat daripada tindakannya yang didapati berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila mempamerkan simbol yang berbaur politik semasa perlawanan menentang PDRM FC itu.

Beliau turut diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama, dengan hukuman ini tidak boleh dirayu.

Namun dua pemain lagi iaitu pemain Kelantan, Jack Hindle dan pemain Melaka United, Alex Goncalves tidak digantung perlawanan.

Jack didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan pada perlawanan Liga Premier 2021, Kelantan FC lwn Perak FC II di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 6 Mac lalu.

Namun, beliau hanya diberi amaran keras supaya tidak melakukan perbuatan ini lagi dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Alex juga didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan pada perlawanan Liga Super 2021, PJ City FC lwn Melaka United FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 10 Mac lalu.

Bagaimanapun, FAM hanya memberikan amaran keras kepada Alex dan berharap beliau tidak melakukan perbuatan ini lagi dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.