Liga Super Malaysia Berita

Dua pemain Lebanon perkuatkan Perak

Dua pemain Lebanon, Jad Nourredine dan Samir Ayass hadir perkuatkan pasukan Perak bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.

Kedua-dua pemain itu baru sahaja menyertai The Bos Gaurus beberapa hari lalu.

Jad, 29, beraksi di bahagian pertahanan pernah menyertai Perak pada musim 2018 manakala Samir, 30, merupakan pemain tengah yang sebelum ini beraksi dengan kelab Liga Bulgaria, Botev Vratsa tahun lalu.

Ketua jurulatih Perak, Chong Yee Fatt meluahkan rasa lega apabila dua pemain import itu semakin pulih dari kecederaan.

“Sebelum ini mereka terpaksa menjalani rawatan dan saya bimbang tidak sempat pulih untuk menghadapi perlawanan dengan Terengganu FC di Kuala Terengganu, 24 Julai ini,” katanya kepada Utusan.

“Bagaimanapun mereka sudah beransur pulih dan saya yakin akan dapat diturunkan, untuk pertemuan dengan Terengganu, Jumaat ini.”

Namun, Yee Fatt mempunyai misi lebih besar iaitu menyelamatkan Perak dari terjerumus ke Liga Premier apabila menduduki tangga ke-10 dengan 12 mata, hanya beza satu mata dengan pasukan ke-11, Melaka United.

“Perak punyai misi besar dan tugas getir dalam baki sembilan perlawanan kerana kedudukan kami ketika ini begitu goyah.

“Silap langkah kami akan terjerumus ke Liga Premier, jadi setiap perlawanan adalah penting. Justeru pemain perlu beri perhatian dan tumpuan sepenuh terhadap setiap perlawanan.”