Malaysia Berita

Tengku Amir Terus Terajui FAS

Percubaan 52 bekas ahli FAS melakukan Kongres Luar Biasa (EGM) bagi merampas kuasa dalam Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berakhir dengan gagal apabila keputusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan tidak memihak kepada mereka.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin bersyukur dan berterima kasih diatas keputusan yang menggembirakan ramai pihak.

“Surat itu menyatakan mesyuarat yang kononnya EGM pada 8 November lalu sudah melanggar statut dan terdapat beberapa keraguan maka ia tidak teratur dan tidak mengikut proses.

“Presiden, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan barisan Exco berasa amat bersyukur atas perkembangan ini.

“Justeru, kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Pesuruhjaya Sukan dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menangani isu ini dengan penuh kredibiliti dan profesionalisme,” katanya.

Kelompak haluan kiri ini telah dipecat daripada menjadi ahli gabungan selepas tiada persefahaman serta melakukan EGM secara ‘haram’ pada 8 November di Sri Kembangan.

Bercakap kepada media, Dr Johan menyatakan bahawa fokus FAS sekarang adalah memperkuatkan pasukan bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga-M)

“Fokus kami untuk memantapkan serta meningkatkan persiapan bagi musim 2019.

“Kami juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua penyokong Red Giants yang memberi sokongan sepenuhnya kepada kami selama ini,” katanya.