Malaysia Berita

PFAM Kecewa Dituduh Sabotaj

Presiden Persatuan Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezam Zambery Yahya tegas menyatakan bahawa pihak PFAM tiada unsur sabotaj kepada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dalam mengeluarkan kenyataan isu tunggakan gaji baru-baru ini.

Rezal dalam kenyataannnya mengatakan bahawa mereka kecewa dengan tuduhan yang dilemparkan PFA kerana mereka tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam isu ini.

“Kenyataan yang dikeluarkan PFAM bertujuan untuk menyampaikan suara bekas pemain Perlis yang masih belum menerima gaji mereka yang tertunggak selepas sekian lama, itupun selepas PFA mengeluarkan kenyataan bahawa isu tunggakan gaji sudah selesai.

“Kenyataan PFA itu boleh menyebabkan kekeliruan memandangkan sehingga kini pemain masih tidak menerima sebarang bayaran berhubung tunggakan gaji mereka.

“Seperti yang dikatakan oleh Presiden PFA (Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad) sendiri bahawa isu ini boleh diselesaikan secara profesional, sememangnya perkara itulah yang diharapkan PFAM bagi memastikan situasi ini dapat diselesaikan oleh PFA dan memastikan urus tadbir dijalankan secara profesional.

“PFAM percaya PFA termasuklah presiden sudah pun maklum akan hal ini. EXCO PFAM sudah pun berusaha untuk menghubungi secara terus bagi tujuan perbincangan dan penyerahan dokumen namun tidak mendapat apa-apa reaksi.

“Sikap berdiam diri inilah yang menyebabkan PFAM tampil memberi kenyataan bagi membidas kenyataan PFA yang mengatakan isu gaji sudah selesai apatah lagi melihat PFA terus menerus membuat persediaan besar bagi saingan musim hadapan.

“PFAM menggesa agar PFA peka akan hal ini dan tidak lepas tangan dalam isu tunggakan gaji ini. PFAM dan pemain bersedia untuk berjumpa dengan pengurusan PFA bagi menyelesaikan isu ini dengan profesional sekiranya PFA benar-benar serius dengan apa yang dikatakan,” katanya kepada Berita Harian.