Liga Premier Malaysia Berita

Legenda Kashima Antlers, Masashi Motoyama sertai Kelantan United

Kelantan United membuat kejutan apabila menandatangani bekas pemain antarabangsa Jepun dan legenda Kashima Antlers, Masashi Motoyama untuk saingan Liga Malaysia 2021.

Penyertaan pemain tengah berusia 41 tahun itu adalah sebahagian daripada perjanjian kerjasama strategik yang terjalin antara Yakult (M) Sdn. Bhd. dan Kelantan United.

Yakult juga bersetuju untuk menaja sebanyak RM250,000 terhadap Kelantan United.

Che Abdullah juga menyifatkan kerjasama dengan Yakult akan memberi manfaat kepada Kelantan United serta pembangunan akar umbi di negeri Kelantan.

Presiden, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata faktor usia bukan penghalang untuk Masashi beraksi dengan baik terutamanya dalam saingan Liga Premier.

“Dia berumur 41 tahun, tetapi kita dapat informasi mengatakan tahap kecergasan pemain ini berada di tahap terbaik,” katanya.

Masashi memulakan kariernya di Kashima Antlers pada 1998 sehingga 2015 dan beraksi sebanyak 496 penampilan dan menjaringkan 63 gol dalam semua pertandingan.

Sepanjang berada di Kashima, Masashi membantu pasukannya memenangi Liga J1 sebanyak 6 kali (1998, 2000, 2001, 2007, 2008, 2009), Piala Maharaja 2 kali (2000, 2007), Piala Liga Jepun 2 kali (2000, 2002) dan Piala Super Jepun (2009).

Beliau kemudian berhijrah ke Giravanz Kitakyushu dari 2016 hingga 2019 dengan 52 penampilan.

Masashi juga mewakili skuad kebangsaan Jepun sejak remaja lagi apabila menjadi pemain utama dalam skuad B-20 yang muncul naib juara dalam Kejohanan Piala Dunia Remaja 1999.

Beliau kemudian menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan Jepun yang menjadi juara Piala Asia 2004.

Masashi menjadi warga Jepun ketiga yang menyertai Kelantan United selepas jurulatih Akira Higashiyama dan pemain tengah Yuki Tanigawa.