Malaysia Berita

FAM: Pemain naturalisasi, kacukan berjaya tingkatkan prestasi Harimau Malaya

Program Naturalisasi FAM dilihat berjaya membantu meningkatkan prestasi skuad kebangsaan Malaysia dan bersaing dengan lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.

Ini boleh diperhatikan menerusi pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh apabila beliau beraksi dengan cukup cemerlang sejak membuat penampilan pertama bersama skuad Harimau Malaya pada Oktober 2018.

Hasilnya, Sumareh telah beraksi sebanyak 19 kali bersama skuad kebangsaan dan menjaringkan 6 gol dengan 3 daripadanya dijaringkan dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

“Kita nampak komitmen beliau amat tinggi untuk pasukan negara,” kata Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi kepada Bernama.

“Kita harap pemain naturalisasi selepas ini pun ada semangat yang sama.”

Pada masa sama, Yusoff juga menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh pemain warisan negara, Brendan Gan, La’Vere Corbin Ong dan Matthew Davies.

“Beliau betul-betul menjiwai semangat Malaysia, saya lihat pemain seperti Corbin-Ong dan Mattew telah menunjukkan minat yang kuat untuk pasukan negara.

“Setakat ini tidak nampak pemain berstatus naturalisasi atau warisan bermain sambil lewa ataupun tidak menunjukkan semangat kewarganegaraan yang tinggi.”

Malah, skuad kebangsaan bakal menambah seorang lagi pemain naturalisasi iaitu Liridon Krasniqi bagi menghadapi dua perlawanan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam, pada Mac 2021.

Yusoff sedar FAM tidak boleh bergantung selamanya kepada pemain naturalisasi tetapi kehadiran mereka ketika ini secara tidak langsung membantu pemain tempatan beraksi dengan lebih baik.

“Sampai bila sukar nak dijawab secara tepat, tetapi sebenarnya tiada keperluan untuk menaturalisasikan seseorang pemain itu apabila kita dapat satu pasukan diwakili pemain tempatan dan mampu bersaing di peringkat tertinggi, contoh seperti peringkat Asia.

“Tetapi sejak mereka berada dalam skuad kebangsaan, pemain tempatan telah menunjukkan peningkatan prestasi dan mampu bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.”