Esteban Solari enggan menyalahkan penjaga golnya Syihan Hazmi atas kekalahan JDT 1-0 kepada Kawasaki Frontale dalam aksi pembukaan Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Ini meskipun percubaan Syihan untuk mengeluarkan bola membolehkan Marcinho merembat masuk ke gawang kosong dengan sepakan gunting pada minit ke-45 untuk meraih kemenangan di Stadium Sultan Ibrahim.
Walaupun Solari berkata dia tidak berpuas hati dengan keputusan itu, prestasi pemainnya adalah petanda positif dan dia berharap mereka akan bangkit dalam baki perlawanan kumpulan.
“Saya sedih bila kalah, saya tidak suka kalah tetapi itulah bola sepak. Kami belajar daripada kesilapan dan kita teruskan.
“Kami meletakkan harapan tinggi dalam perlawanan ini dan sudah tentu ia sukar. Pada akhirnya, kami tidak boleh gembira dengan keputusan itu tetapi kami boleh yakin dengan cara kami,” kata jurulatih Argentina itu.
“Saya bangga dengan pemain, secara keseluruhan ia adalah persembahan yang baik. Sudah tentu dalam bola sepak apabila anda tidak menang, anda tidak boleh berpuas hati.
“Apa yang boleh kami katakan ialah jika kami terpaksa memilih cara untuk kalah, ini lah perlawanannya… kami berjuang sehingga ke akhirnya.
“Kesilapan adalah sebahagian daripada permainan. Syihan adalah penjaga gol yang baik, tetapi mungkin dia melakukan kesilapan. Dia juga menyelamatkan satu lawan satu dengan Marcinho.
“Apabila anda kalah, anda bercakap tentang perkara buruk. Dia seorang pemain yang hebat, dia masih muda dan mempunyai bakat untuk berjaya.”
Namun Solari berkata permulaan kekalahan dalam kempen ACL bukanlah penamat.
“Dalam separuh masa kedua, kami berjaya membuat Kawasaki tercungap-cungap dengan serangan kami, tetapi kami tidak berjaya mendapatkan kemenangan.”
Jurulatih Kawasaki, Toru Oniki pula mengakui terkejut dengan persembahan JDT dan pasukannya terpaksa bekerja keras untuk bertahan pada separuh masa kedua.
“Ia bukan mudah untuk bermain di sini kerana sokongan ramai di stadium. JDT juga bermain permainan berkualiti dan mereka lebih baik daripada tahun lepas. Jadi, saya sangat gembira untuk kembali dengan tiga mata.”