Liga Super Malaysia Berita

Penalti kontroversi: Melaka United buat aduan rasmi kepada FAM, gesa gantung pengadil

CEO Melaka United, Datuk Saiful Mat Sapri menggesa FAM supaya menggantung tugas pengadil, Mohd Fairuzi Mat Desa yang menghadiahkan sepakan penalti kontroversi kepada PJ City.

Ini selepas Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri yang sedang membawa bola masuk ke kotak penalti pasukan Melaka didapati menjatuhkan dirinya untuk mendapatkan sepakan penalti.

“Kami akan hantar surat dan e-mel kepada FAM aduan tersebut beserta rakaman yang kami dapat.

“Saya minta pengadil ini digantung untuk tindakan selanjutnya supaya pengadil-pengadil dapat memberi keputusan yang lebih adil kepada kami.

“Sepatutnya perlawanan ini menyebelahi kami. Disebabkan pengadil tidak profesional, sebab itu kami bolos,” katanya kepada Astro Arena.

Bagaimanapun, Fairuzi mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat keputusan dan merujuk kepada penjaga garisan sebelum menghadiahkan sepakan penalti tersebut.