Liga Super Malaysia Berita

Subkhiddin: Pengadil Melaka-PJ City gagal berada pada posisi sepatutnya

Subkhiddin Salleh mengakui pengadil bagi perlawanan PJ City menentang Melaka United, Mohd Fairuzi Mat Desa gagal berada pada posisi terbaik sehingga menghadiahkan penalti yang kontroversi.

Beliau berkata, Fairuzi sepatutnya dapat mengesan dengan pantas mengapa Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri terjatuh dalam kotak penalti, bukannya mengambil masa terlalu lama sehingga membuat keputusan yang salah.

“Pengadil ini berada dalam pandangan yang salah,” katanya kepada Astro Arena.

“Beliau tidak bergerak awal ke kawasan yang jangkaan ketibaan bola dalam perlawanan.

“Saya selalu ingatkan pengadil supaya jangan lihat kepada reaksi berlebihan oleh pemain. Mereka perlu melihat perbuatan pertahanan seperti menendang.

“Ini boleh memberi gambaran sebenar mengapa pemain itu terjatuh.”

Bekas pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM itu juga berpendapat setiap pengadil perlu mengambil kira segala kemungkinan, termasuklah tindakan pemain yang sengaja menjatuhkan dirinya sendiri dalam kotak penalti.

“Jika pengadil itu berada di posisi yang baik, dia cuma perlu melihat bagaimana aksi pertahanan tadi.

“Tentu pengadil nak lihat kedua-dua pemain tersebut tetapi fokus lebih terarah kepada pertahanan.

“Apabila seseorang pemain itu dilihat jatuh tentulah kita pelik.”

“Dalam situasi satu lawan satu, penyerang teruja untuk menjaringkan gol kerana apabila anda menyumbat gol pada lewat permainan, anda akan jadi wira pasukan.

“Ada banyak pilihan seperti sengaja merebahkan badan. Itu sebahagian daripada taktikal tetapi pengadil perlu fokus dan peka selain memberi kerjasama yang baik.

“Saya lihat pembantunya kekal di posisinya sebaik pengadil memberikan penalti, tidak ke posisi sepakan penalti itu diambil, inilah tindakan bijak oleh seorang pembantu pengadil.

“Saya dapat rasakan betapa kecewanya pengadil tersebut apabila dia menyedari kesilapannya.”