Malaysia Berita

Baddrol: Perlawanan paling dramatik sepanjang 14 tahun bersama Kedah

Kedah berjaya mara ke final Piala Malaysia 2019 selepas mengikat Pahang 5-5 di Stadium Darul Makmur Sabtu lalu. Skuad Hijau Kuning layak menerusi kelebihan gol di tempat lawan. Kedua-dua pasukan seri 3-3 di Stadium Darul Aman pada separuh akhir pertama.

Dalam satu temu bual selepas tamat perlawanan, ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar berkata perlawanan ini begitu mendebarkan. ‘Bersyukur ke hadrat ilahi kerana kami dapat bermain dengan begitu cemerlang dan sememangnya satu permainan yang begitu berkualiti daripada Pahang dan Kedah’, tambahnya lagi.

Baddrol yang beraksi bersama skuad Helang Merah sejak 2005 turut berkata Kedah yang sedang melalui proses pembentukan dengan pengurusan baru masih cemerlang kerana mampu layak ke pusingan akhir. 

Secara peribadi, ini merupakan pentas final kelima buat dirinya dan dia sangat berterima kasih kepada keluarga dan penyokong yang tidak putus-putus memberi sokongan yang begitu positif.

Dalam pada itu, Baddrol turut menyifatkan perlawanan menentang Pahang ini adalah yang paling dramatik pernah dilalui sepanjang 14 tahun beraksi bersama Kedah. ‘Mungkin kalau kami tak layak ke final, penyokong akan berpuas hati dengan permainan yang teah dipamerkan’, bicaranya di hujung temu bual bersama Astro Awani.

Berdasarkan analisis perlawanan, Baddrol telah mencipta dua bantuan gol dan menjaringkan satu gol menerusi sepakan percuma serta terlibat dalam empat gerakan gol pada perlawanan getir menentang skuad Tok Gajah Sabtu lalu.