Chelsea bakal melayan kunjungan Manchester United awal pagi ini dalam pusingan 16 pasukan terakhir bagi saingan Piala Carabao.
Penyokong Chelsea pastinya mengharapkan sesuatu daripada anak buah Frank Lampard yang sebelum ini dimalukan United pada perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris yang lalu.
Kekalahan 4-0 pastinya tidak mudah untuk dilupakan buat para pemain The Blues. Kali terakhir pertemuan dua pasukan ini dalam kejohanan yang sama menyaksikan kemenangan berpihak kepada Chelsea dengan jaringan 5-4 (selepas 3-3 pada minit ke-90) pada pusingan keempat.
Secara perbandingan, Chelsea dan Manchester United berada dalam situasi yang berbeza. Skuad Ole Gunnar Solksjaer masih bergelut untuk mencipta jaringan, manakala The Blues dilihat semakin selesa dengan taktikal yang sedia ada.
Chelsea telah menghasilkan 23 jaringan daripada sembilan perlawanan. Jumlah jaringan yang sangat ketara jika dibandingkan dengan United yang hanya mampu memperoleh sembilan jaringan daripada sembilan perlawanan selepas kali terakhir menghasilkan empat gol ketika menentang Chelsea.
Prestasi pemain-pemain muda Chelsea juga berada dalam tahap yang memuaskan. Sabtu lepas, Christian Pulisic mencipta sejarah dengan menjadi pemain Chelsea termuda untuk mencipta jaringan hatrik dalam aksi Liga Perdana Inggeris.
Disamping itu, Frank Lampard selaku pengedali pasukan juga mempunyai banyak pilihan pemain serangan untuk diturunkan seperti Callum Hudson Odoi, Tammy Abraham, Michy Batshuayi, dan Olivier Giroud.
Sementara itu, United kembali mendapat sentuhan penyerang Perancis, Anthony Martial yang kembali beraksi dalam skuad utama dan membantu pasukan membenam Norwich City 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris Ahad lepas.