Kolum Eropah

[VIDEO] Unai: Ozil berpeluang untuk main

Mesut Ozil merupakan pemain bertaraf bintang yang dipinggirkan Arsenal musim ini. Bekas pemain antarabangsa Jerman ini hanya beraksi dalam dua perlawanan bersama The Gunners setakat ini.

(Photo by Stuart MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images)

Seperti ada yang tidak kena dalam kem Arsenal, Unai Emery selaku pengendali pasukan dilihat berada dalam keadaan tertekan. Ahad lalu, Arsenal terus keciciran mata dan ditambah pula insiden ketua pasukan, Granit Xhaka yang bertindak di luar kawalan.

Perlawanan menentang Liverpool pagi ini pastinya menjadi titik permulaan baru buat Unai bernafas semula. Rekod pengendali Sepanyol ini sekadar cemerlang dalam saingan Liga Eropah sahaja.

Namun, persembahan yang kurang cemerlang ditampilkan dalam Liga Perdana Inggeris sudah mula membuatkan para penyokong Arsenal mual. 

Dalam satu sidang media yang berlangsung semalam, Unai menyatakan bahawa Ozil berpeluang untuk beraksi kerana dia akan bersama pasukan ke Anfield. ‘Saya sudah bercakap secara peribadi bersama dia (Ozil) dan dia menunjukkan peningkatan pada sesi latihan. Dia tahu apa yang saya mahukan’, tambahnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Granit Xhaka akan diketepikan dalam perlawanan menentang Liverpool walaupun pemain Switzerland itu turut terlibat dalam sesi latihan bersama skuad utama. 

Liverpool akan turun tanpa dua tonggak utamanya, Mohamed Salah dan Virgil van Dijk yang mengalami kecederaan ringan pada aksi menentang Tottenham Hotspur hujung minggu lalu.

Secara rekod, Arsenal gagal untuk mencatat kemenangan di Anfield sejak September 2012. Kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertembung dalam kejohanan ini menyaksikan Arsenal menang 2-1 pada Oktober 2009 dalam saingan pusingan keempat.