Kajian & Analisis Berita

Singapore Premier League: Permulaan era baru bolasepak Singapura

Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) melakukan pembaharuan dalam format liga apabila menggantikan nama Singapore League (S. League) yang digunakan sebelum ini kepada Singapore Premier League (SPL).

Usaha itu diketuai oleh Presiden FAS, Lim Kia Tong, dalam memberi perubahan nama serta format baru buat liga itu selepas S. League yang sebelum ini bertahan sejak 1996 dilihat sudah tidak sejajar dengan tuntutan bola sepak moden. Situasi itu dilihat telah gagal memberi manfaat kepada perkembangan pasukan kebangsaan Singapura.

Sebanyak sembilan pasukan yang akan menyertai saingan SPL pada minggu ini. Tiga daripada mereka merupakan pasukan jemputan iaitu Albirex Niigata dari Jepun, kelab Bruney DPMM serta skuad Bawah-23 Singapura yang dikenali dengan nama Young Lions. Baki enam pasukan yang selebihnya diisi oleh pencabar tempatan iaitu Balestier Kalsa, Geylang International, Home United, Hougang United, Tampines Rovers, dan Warriors FC.

Antara perubahan yang dicetuskan oleh Kia Tong adalah meletakkan syarat untuk membariskan pemain B-23. Bagi musim ini, enam pasukan tempat yang menyertai saingan diwajibkan untuk memiliki enam pemain berusia tidak melebihi 23 tahun dan tiga daripada mereka harus mengisi senarai kesebelasan utama. Jika mereka dikeluarkan, pemain yang masuk juga harus berusia bawah 23 tahun. Musim lalu, peraturan ini telah ditetapkan tetapi dilupuskan ketika pertengahan musim.

Selain pemain muda, setiap pasukan tempatan juga perlu mempunyai seramai lapan pemain dari Singapura yang tidak melebihi 30 tahun, sambil kuota import hanya diperuntukkan seramai dua orang pemain sahaja.

Dalam masa sama, setiap pasukan hanya dibenarkan untuk mendaftarkan seramai 19 hingga 22 orang pemain dalam satu musim dan dibekalkan kuota penambahan sehingga 25 pemain, namun dengan syarat berusia bawah 23 tahun. Syarat baru itu menyebabkan saingan SPL musim ini bakal menyaksikan hanya tiga hingga enam pemain berusia lebih 30 tahun akan beraksi dalam setiap kelab.

Jalan penyelesaian kepada prestasi skuad kebangsaan Singapura

Kia Tong yang baru dipilih sebagai presiden pada Disember lalu melakukan setiap perubahan dengan alasan tersendiri. Salah satunya, dia mahu mengubah nasib pemain muda Singapura yang dilihat gagal bersaing di peringkat ASEAN.

Contoh terbaik, skuad B-23 Singapura yang diisi oleh pemain Young Lions gagal mengimbangi kekuatan skuad B-23 Indonesia baru-baru ini, selepas tewas 3-0 di laman sendiri.

Prestasi itu juga menunjukkan graf sama pada tahun lalu. Mereka gagal melepasi peringkat kumpulan Sukan SEA 2017 dan peringkat kelayakan Piala Asia B-22. Skuad B-18 juga gagal menunjukkan prestasi mengagumkan di peringkat kumpulan selepas tewas di tangan Timor Leste. Begitu juga dengan pasukan B-15 pada tahun lalu yang seharusnya meraih tempat lebih baik dalam saingan Piala AFF B-15. Paling perit, pasukan senior tersingkir daripada peringkat kumpulan ketika Piala AFF 2016.

Walaupun undang-undang yang baru diwujudkan itu mungkin tidak mampu mengubah situasi itu tetapi setidaknya, pemain muda Singapura memiliki ruang untuk menunjukkan potensi sebenar.

“Jika kita tidak menyediakan kuota yang cukup untuk pemain B-23, mereka tidak akan berpeluang untuk mempamerkan keboleha. Itu yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Kia Tong.

Meningkatkan jumlah penonton di stadium

Salah satu aspek yang turut ingin ditingkatkan adalah jumlah kehadiran penonton di stadium pada musim ini. Beberapa musim lalu menunjukkan rekod itu menurun, jadi diharapkan perubahan format mampu menaikkannya semula.

Antara cara yang diterapkan adalah menyediakan hiburan sebelum kejohanan utama. Penganjur liga akan mewujudkan pelbagai acara daripada sekolah-sekolah di Singapura untuk menarik lebih ramai penonton ke stadium. Selain itu, setiap pasukan juga akan berkesempatan untuk beraksi di Stadium Nasional Singapura.

SPL bakal bermula pada 31 Mac 2018, menyaksikan pertemuan antara Albirex Niigata bertemu Tampines Rovers. Ia dijangka berakhir pada Oktober 2018 untuk memberi laluan kepada pasukan Singapura melakukan persediaan untuk aksi Piala AFF 2018.