Malaysia

Roberto Carlos terangkan kenapa Malaysia tempat yang sesuai untuk import Brazil

Pemain Brazil dan Malaysia memang tidak asing lagi. Nama-nama seperti Guilherme De Paula, Paulo Josue, Marcos Antonio, Gilmar dan ramai lagi pemain yang berasal dari Brazil, menguatkan pasukan-pasukan Liga Super dan Liga Premier di Malaysia. Apa agaknya yang membuatkan pemain Brazil senang beraksi di Malaysia berbanding pemain import dari negara lain terutamanya dari Eropah?

Menurut lagenda Real Madrid, Roberto Carlos, Malaysia memang merupakan negara yang ideal untuk pemain dari negara samba itu.

“Suhu di Malaysia lebih kurang sama dengan Brazil. Ianya membuatkan pemain kami mudah dan cepat menyesuaikan diri di sini. Selain itu, budaya bolasepak di negara ini juga hebat, jadi pemain kami melihat Malaysia sebagai satu destinasi yang bagus jika mereka mahu meninggalkan Brazil dan beraksi di luar negara. Malaysia sememangnya negara yang ideal untuk pemain Brazil.”

Roberto Carlos yang pada hari ini dilantik sebagai Duta Antarabangsa terbaru Air Asia turut menyatakan kesediannya untuk membantu pasukan Piala FAM, PJ Rangers jika diperlukan.

“Saya tahu PJ Rangers bercita-cita tinggi, dan jika Real Madrid (kerana Roberto Carlos juga merupakan duta kelab Real Madrid) benarkan, saya tidak kisah untuk turun ke sini dan membantu dengan semua ilmu yang saya ada, bersama Air Asia.”

Roberto Carlos memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu Brazil menjadi juara Piala Dunia pada tahun 2002. Selain itu, dia juga menjadi sebahagian daripada revolusi Galactico pertama di Real Madrid pada awal 2000an.