Berita Asia

Liga 1 Indonesia bermula hari ini, penaja utama tarik diri

Selepas sekian lama menunggu, akhirnya peminat bolasepak Indonesia akan dilanda demam Liga 1 Indonesia kembali. Liga utama Indonesia itu akan bermula pada hari ini dengan perlawanan di antara juara bertahan Bhayangkara FC menentang Persija Jakarta di Stadium Gelora Bung Karno.

Persija yang beraksi di Piala AFC dilihat begitu hebat pada pra-musim apabila menjuarai kejohanan Piala Presiden dan juga kejohanan Boost Sportsfix Super Cup yang berlangsung di Malaysia Januari lalu.

Bagi Bhayangkara FC pula, mereka kehilangan begitu ramai pemain utama seperti Evan Dimas dan Ilham Udin yang berhijrah ke Selangor serta penjaring terbanyak Ilija Spasojevic ke Bali United.

Di sebalik kerancakan yang dinanti, agak mengejutkan apabila salah satu penaja utama Liga 1 Indonesia, Traveloka, mengumumkan penarikan diri mereka. Oleh sebab itu, liga yang sebelum ini dikenali sebagai Gojek Traveloka Liga 1 Indonesia kini menjadi Gojek Liga 1 Indonesia.

18 pasukan akan mula berentap untuk menjadi juara bagi musim ini. Antara pasukan yang dilihat berpotensi muncul juara adalah Persija Jakarta, Bali United, Sriwijaya FC, PSM Makassar, Madura United, Arema FC dan Persib Bandung.

Dengan Sukan Asia 2018 yang akan berlangsung di Jakarta pada musim ini, pastinya Liga 1 Indonesia akan menjadi pentas yang bagus buat pemain-pemain muda untuk menarik perhatian ketua jurulatih Indonesia, Luis Milla.

Siapakah yang akan muncul juara Liga 1 Indonesia? Semuanya akan terjawab bermula dengan perlawanan pembukaan Persija Jakarta vs Bhayangkara hari ini.