Kajian & Analisis Berita

Barisan bekas pembantu jurulatih yang berjaya sebagai pengurus pasukan

Peranan seorang pembantu jurulatih tidak boleh dipandang sebelah mata. Selain menjadi rakan perbincangan ketua jurulatih sepanjang musim, ada juga pembantu yang menterjemahkan keinginan jurulatih kepada pemain. Menjadi individu yang paling dipercayai jurulatih membuatkan kebanyakan pembantu jurulatih mempelajari bola sepak daripada mereka.

Berikut adalah beberapa bekas pembantu pengendali di Eropah dan bola sepak tempatan yang berjaya ketika menjadi pengurus pasukan.

 

Jose Mourinho

Karier sebagai pembantu hanya dilalui Mourinho dari tahun 1994 sehingga 2000, bermula sebagai penterjemah buat Sir Bobby Robson sehingga menjadi pembantu Louis Van Gaal di Barcelona. Namun, daripada dua pengendali terkenal Eropah itu, Mourinho telah banyak mempelajarai dasar kejurulatihan yang sangat berguna.

Ketika ini, Mourinho menjadi salah seorang pengendali paling berjaya di Eropah dengan rangkaian gelaran yang diraih bersama FC Porto, Inter Milan, Chelsea, Real Madrid sehingga Manchester United. Apa yang menarik, sejak mengendalikan Porto pada 2002, dia tidak pernah gagal memberikan satu gelaran buat pasukannya. Mourinho sendiri adalah salah satu contoh, bahawa seorang pengendali hebat tidak semestinya mempunyai sejarah pemain yang hebat.

Zinedine Zidane

Berbeza dengan Mourinho, Zidane merupakan contoh terbaru bekas pemain yang berjaya sebagai pengurus. Kariernya di Madrid bermula sebagai pembantu kepada Carlo Ancelotti pada musim 2013/14 dimana mereka meraih La Decima. Setahun kemudian, dia menjadi ketua jurulatih buat pasukan Real Madrid Castilla dan akhirnya mengendalikan pasukan utama selepas menggantikan Rafael Benitez pada Januari 2016.

Sejak itu, secara keseluruhan, lapan trofi telah diraih bersama Madrid. Dua Liga Juara-Juara, satu LaLiga, satu Piala Super Sepanyol, dua Piala Super Eropah dan dua Piala Dunia Kelab. Musim ini, dia bahkan berpeluang untuk meraih catatan hatrik sebagai pemenang Liga Juara-Juara. Karismanya sebagai bekas barisan Galacticos Madrid membuatkannya mudah mengatur pemain-pemain bintang El-Real.

Bob Paisley

Kelibat Bob Paisley pasti diingati penyokong Liverpool sebagai contoh pemain setia. Dia menghabiskan kariernya selaku pemain, pembantu jurulatih dan ketua jurulatih hanya bersama Liverpool. Dia menjadi pembantu kepada Bill Shankly dari tahun 1959 hingga 1975. Bob diberikan tugas pengurus pasukan pada 1974 dengan bimbingan Shankly selama semusim. Bob menikmati kejayaan terbesar dengan mengutip 20 trofi termasuk tiga Piala Eropah (sebelum format Liga Juara-Juara) dan akhirnya bersara pada 1983.

Joachim Low

Pengurus skuad Jerman ini memulakan karier sebagai pembantu pengurus Austria Wien pada musim 2003/04 dan pembantu pasukan kebangsaan Jerman di bawah Jurgen Klinsmann pada 2004 hingga 2006. Bersama Klinsmann, Low mencipta generasi baru skuad Jerman yang menjadi juara Piala Dunia 2014. Bahkan, dalam edisi 2018, Jerman juga menjadi pilihan utama untuk bergelar juara di Russia kerana memiliki barisan pemain yang sangat seimbang.