Luar Negara

5 perkara menarik mengenai Wesley Sneijder

Antara bakat hebat dari Belanda, Wesley Sneijder baru-baru ini mengumumkan persaraannya daripada skuad kebangsaan selepas perbincangan dengan pengendali baru Belanda, Ronald Koeman.

Pemain berusia 33 tahun itu kini beraksi bersama Al-Gharafa di Qatar dan telah menjadi antara pemain yang banyak memenangi kejuaraan di Eropah. Mari kita lihat lima perkara menarik mengenai Sneijder.

Muncul dari akademi Ajax

Photo credit: Ajaxdaily.com

Wesley Sneijder memulakan kerjayanya bersama Ajax Amsterdam di mana dia merupakan mengikut jejak langkah pemain terdahulu yang berasal dari akademi remaja pasukan tersebut.

Penampilan pertamanya untuk Ajax adalah dalam kemenangan 6-0 menentang Willem II. Apa yang menarik, pada tarikh ini 15 tahun dahulu, Sneijder menjaringkan gol pertamanya selaku pemain profesional dalam perlawanan menentang FC Groningen di KNVB Cup. Bersama Ajax, dia berjaya menjuarai Eredevisie (1) dan KNVB Cup (2).

 

Sertai Real Madrid

Photo credit: Squawka.com

Selepas menunjukkan aksi cemerlang bersama Ajax, Sneijder menyertai dua lagi rakan senegaranya, Arjen Robben dan Royston Drenthe di Real Madrid pada tahun 2007. Sneijder diberikan jersi nombor 23 yang pernah disarung oleh David Beckham pada musim sebelum itu. Setahun selepas itu, Sneijder diberikan jersi nombor 10 selepas pemergian Robinho ke Manchester City. Kehadiran Sneijder di Real Madrid dibayangi dengan kebangkitan Barcelona. Oleh kerana itu, Sneijder cuma dapat membantu Los Blancos menjuarai La Liga satu kali sahaja pada musim 2007-08.

 

Menang treble bersama Inter Milan

Photo credit: Planet Football

Kemuncak kerjaya Sneijder di peringkat kelab sudah semestinya ketika dia menyertai Jose Mourinho di Inter Milan. Menjadi kepingan terakhir revolusi Mourinho di Inter, Sneijder membantu Nerazzurri menjuarai Serie A, Liga Juara-Juara, Coppa Italia, Supercoppa Italia dan Piala Kelab-Kelab Dunia FIFA.

Di Itali, Sneijder diberi gelaran ‘The Sniper’ kerana mampu membuat hantaran tepat dan menjaringkan gol dengan rembatan dari jarak jauh.

Dikaitkan dengan Manchester United

Photo credit: Daily Mirror

Ini mungkin satu perkara yang melucukan. Sejak Sneijder bermain di Ajax sehinggalah di Nice, nama Sneijder sering dikaitkan dengan Manchester United. Sejak zaman Sir Alex Ferguson, hinggalah ke Jose Mourinho, nama pemain ini sering tertera di media Eropah yang menyatakan dia bakal menyertai Red Devils.

Khabar angin ini cukup konsisten setiap musim, sehingga ianya menjadi satu jenaka di kalangan peminat bolasepak termasuk penyokong United sendiri. Ia lebih kurang sama seperti kekerapan berita Higuain dan Benzema bakal menyertai Arsenal.

Pemain paling banyak beraksi untuk Belanda

Photo credit: Daily Mirror

Oleh kerana artikel ini ditulis sempena persaraan Sneijder dari skuad kebangsaan Belanda, tidak lengkap jika tidak dinyatakan bahawa Sneijder merupakan pemain paling banyak membuat penampilan untuk Belanda. Dengan 133 penampilan buat skuad Oranje, perlawanan pertama Sneijder untuk Belanda adalah dalam perlawanan menentang Portugal pada 30 April 2003, sebulan selepas dia beraksi untuk skuad bawah 21 tahun.

Sneijder mengatasi rekod yang dipegang oleh Edwin Van Der Sar sebelum itu pada Jun tahun lalu dalam perlawanan menentang Luxembourg.

Bersama Belanda, Sneijder berjaya memenangi anugerah kasut gangsa, bola perak dan sebahagian daripada Dream Team di Piala Dunia 2010 selepas berjaya membantu Belanda mara ke perlawanan akhir Piala Dunia menentang Sepanyol.