Piala Malaysia Berita

Piala Malaysia 2018: Perhitungan MIFA, Kedah, JDT dan Kelantan dalam aksi terakhir Kumpulan C

Saingan Piala Malaysia kembali setelah berehat hampir dua minggu untuk memberi laluan kepada perlawanan persahabatan antarabangsa.

Dengan 6 pasukan daripada Kumpulan A, B dan D telah disahkan layak ke suku akhir, perlawanan keenam hanya tertumpu kepada Kumpulan C dimana MIFA, Kedah, Johor Darul Ta’zim dan Kelantan masih lagi layak menempah tiket ke saingan suku akhir.

Setakat ini, MIFA dan Kedah menduduki dua teratas Kumpulan C dengan berkongsi 8 mata. Manakala JDT ditempat ketiga dengan 6 mata dan Kelantan pula 5 mata. MIFA bakal menerima kunjungan juara Liga Super 2018 di Stadium Shah Alam sementara Kelantan pula akan berhadapan dengan naib juara Piala Malaysia 2017 masing-masing pada ahad ini.

Kedua-dua JDT dan Kelantan berupaya untuk mara ke peringkat kalah mati seandainya mereka berjaya mengalahkan lawan masing-masing. Walaubagaimanapun, Kelantan perlu menang dengan jaringan besar serta mengharapkan JDT mengalahkan MIFA untuk mara.

Pengurus dan ketua jurulatih JDT, Luciano Figueroa tetap berasa yakin untuk mencatatkan kemenangan berdasarkan reputasi kelabnya yang menjuarai Liga Super sebanyak 5 kali.

“Saya yakin dengan kemampuan pemain dan tidak perlu risau kedudukan dalam kumpulan walaupun selepas tewas kepada Kedah kerana apa yang saya perlu lakukan ketika ini adalah memberi motivasi kepada mereka supaya beraksi mengikut kemampuan sebenar pada aksi terakhir peringkat kumpulan.”

“Kami sudah mencipta kejayaan memenangi Liga Super lima musim berturut-turut dan sudah tentu pasukan yang belum memenangi kejuaraan akan beraksi bersungguh-sungguh untuk mencatatkan kemenangan.”

“Tidak dinafikan saingan pada akhir musim amat sukar namun kami akan berusaha memberi persembahan terbaik pada aksi terakhir kumpulan dan cuba mara ke pusingan seterusnya,” katanya.”

Pengendali Kelantan pula, Yusri Che Lah sedar bahawa pasukannya perlu menang dengan jaringan melebihi dua gol dan pada masa yang sama perlu mengharapkan perlawanan diantara MIFA dan JDT tidak berakhir dengan seri ataupun JDT mengalami kekalahan.

Tambahan pula, kembalinya pemain muda, Nik Akif Syahiran dan Baktiyar Duyshobekov diharap dapat memberi saingan kepada pasukan Kedah yang ditunjangi oleh Sandro Da Silva, Akhyar Rashid dan Liridon Krasniqi.

“Malah kepulangan semula Nik Akif Syahiran dan Baktiyar (Duyshobekov) diharap berupaya mengimbangi kekuatan lawan yang diketuai Sandro Da Silva, Akhyar Rashid dan Liridon Krasniqi.”

“Nik Akif dan Baktiyar akan mengemudi bahagian tengah pasukan untuk menyaingi kekuatan bahagian tengah Kedah yang diketuai Baddrol Bakhtiar.”

Kedua-dua perlawanan akan berlangsung pada jam 9 malam, 16 September ini. Menarik untuk menyaksikan kedua-dua perlawanan ini dan melihat siapakah yang akan melengkapi senarai 8 pasukan terakhir Piala Malaysia 2018.