Malaysia Piala Malaysia

Perlawanan Kuala Lumpur vs Felcra FC ditunda ke hari Ahad

Nampaknya sekali lagi akan ada perubahan dengan perlawanan melibatkan Kuala Lumpur dalam saingan Piala Malaysia.

Selepas perubahan lokasi perlawanan dalam perlawanan bertemu Perak pada hari Sabtu yang lalu, satu lagi perubahan akan berlaku dalam perlawanan bertemu Felcra FC minggu ini.

Dalam satu kenyataan, Football Malaysia LLP (FMLLP) mengumumkan bahawa permintaan Kuala Lumpur pada 8 Ogos yang lalu untuk meminda perlawanan bertemu Felcra FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada hari Sabtu ini ke hari Ahad telah diterima.

Pindaan ini dilakukan kerana perlawanan kelayakan Piala AFF Suzuki di antara Brunei dan Timor Leste akan berlangsung pada 1 Ogos (Sabtu) di Stadium Cheras.

Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira persetujuan bersama FMLLP sebagai pengelola Piala Malaysia dan juga FAM yang mengelola perlawanan antarabangsa berkenaan.

Kuala Lumpur tewas dalam dua perlawanan terakhir mereka dan kini perlu menang ke atas Felcra FC jika mahu menghidupkan peluang untuk ke suku akhir Piala Malaysia.