Piala Malaysia Berita

10 Pemain MIFA ikat Kedah di Stadium MBPJ

Kedah gagal mengambil peluang untuk menghuni tangga pertama Kumpulan C apabila mereka seri 2-2 ketika menentang MIFA pada malam tadi.

Tambah mengecewakan, MIFA hanya beraksi dengan 10 pemain apabila Kpah Sherman dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana mengasari Liridon Krasniqi.

Kini Kedah menghuni tangga ketiga dengan 5 mata manakala MIFA berjaya mengepalai Kumpulan C dengan 7 mata.

Dalam perlawanan tersebut, skuad Lang Merah terlebih dahulu membukan tirai jaringan menerusi sepakan percuma cantik oleh Sandro menewaskan Mohd Muhaimin pada minit ke-31.

Sebelum tamat separuh masa pertama, pengadil melayangkan kad merah kepada penyerang sensasi MIFA, Kpah Sherman kerana melakukan terjahan ke atas Liridon Krasniqi.

Separuh masa kedua, MIFA bangkit menjaringkan gol penyamaan apabila L’Iman Seydi menanduk bola setelah menerima bola sepakan penjuru pemain Korea, Beomgeun Bae.

Walaubagaimanapun, Kedah pantas menjaringkan gol kedua selang empat minit kemudian menerusi Halim Saari setelah menerima hantaran daripada Mat Don.

Beraksi dengan 10 pemain langsung tidak mematahkan semangat MIFA dan pada minit ke-81, Barathkumar Ramaloo menanduk masuk bola daripada sepakan penjuru Beomgeun Bae untuk mengikat Kedah 2-2 di Stadium MBPJ.