Malaysia

Menjelang pertemuan Malaysia-UAE

Malaysia bakal melayan kunjungan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada hari selasa di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2022. Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe mendahului kumpulan G setelah menewaskan Indonesia 3-2 pada khamis lepas. 

Pasukan UAE mempunyai kelebihan kerana masih belum beraksi dalam mana-mana perlawanan. Walaupun Malaysia bermain di halaman sendiri tetapi perlu diingat bahawa pasukan yang berada di ranking 65 dunia ini sememangnya dijangka mudah melayakkan diri jika dilihat rekod diatas kertas. 

Pasukan bimbingan Bert van Marwijk tiba lebih awal di Kuala Lumpur bagi menghadapi persiapan menentang Malaysia. Pemain sandaran UAE, Omar Abdulrahman turut disenaraikan walaupun masih bergelut untuk pulih daripada kecederaan lutut. 

(Photo by Richard Heathcote – FIFA/FIFA via Getty Images)

Skuad Harimau Malaya dijangka bakal menerima sorakkan penyokong tempatan setelah persembahan membanggakan di Jakarta. Pastinya para penyokong Malaysia mahukan lebih lagi daripada pemain-pemain seperti Mohamadou Sumareh, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, dan Norshahrul Idlan Talaha. 

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan, Malaysia gagal meraih sebarang kemenangan dalam lima perlawanan sebelum ini. Malah, UAE pernah memalukan Malaysia dengan jaringan besar 10-0 dalam pertemuan perlawanan kelayakan AFC Piala Asia 2019 di Abu Dhabi pada awal september 2015. Namun, pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada 17 November 2015 menyaksikan Malaysia tewas tipis 1-2 di gelanggan sendiri. Gol tunggal pasukan kebangsaan dijaringkan oleh pemain tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar.

Walau apa jua keadaan, tiada apa yang mustahil dalam bola sepak. Andai Malaysia mampu mengelakkan kekalahan keatas UAE, itu sudah cukup baik kerana UAE merupakan pasukan yang agak sukar untuk ditewaskan. Kali terakhir skuad negara menewaskan UAE ialah pada Pesta Bola Merdeka 1982 dengan jaringan 2-1. 

Barisan pertahanan negara perlu lebih fokus untuk perlawanan kedua. Disamping, bahagian serangan perlu memanfaatkan peluang yang terhidang dengan menterjemahkan kepada jaringan. Ketumpulan serangan Malaysia memaksa mereka untuk memperoleh gol kemenangan di minit terakhir permainan ketika menentang Indonesia tempoh hari. Diharapkan sentuhan taktikal Tan Cheng Hoe mampu menyumbang mata buat skuad Harimau Malaya.