Berita

FAM kunjung penyokong

Peminat cilik yang bersorak ketika menonton perlawanan diantara Malaysia dan Indonesia, Omar Bin Saiful Razman, menerima kejutan daripada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan kemunculan beberapa pemain termasuk Mohamadou Sumareh, Farizal Marlias, Syafiq Ahmad, dan Shahrul Saad yang hadir membuat kejutan rentetan selepas video si cilik itu ‘viral’ sehari selepas perlawanan.

Omar turut menerima sehelai jersi Harimau Malaya yang ditandatangani oleh Mohamadou Sumareh dan sepasang tiket perlawanan untuk menyaksikan pasukan kebangsaan melayan kunjungan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada selasa ini. 

 

Dalam perkembangan lain, wakil daripada FAM dan beberapa pemain skuad negara juga mengambil masa untuk menziarahi salah seorang penyokong Harimau Malaya, Mohd Zulrani Helmi Mohd Zakri yang cedera dan mengalami patah tangan ketika serangan yang berlaku di Stadium Gelora Bung Karno tempoh hari.

Kunjungan yang diketuai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam bersama-sama kapten pasukan, Farizal Marlias, Syafiq Ahmad, dan Shahrul Saad itu bertujuan untuk mendengar kisah sebenar yang terjadi di Jakarta. Kesungguhan beliau untuk turun memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya perlu diberi pujian.

Beliau turut menerima sedikit sumbangan dan tiket perlawanan bagi menyaksikan perlawanan kedua pasukan bola sepak negara menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) daripada pihak FAM. Semoga Mohd Zulrani diberi kesembuhan segera.