Malaysia layak ke Piala Asia 2023 selepas menewaskan Bangladesh 4-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kemenangan itu bermakna Malaysia meraih 6 mata sekali gus menjadi pasukan ke-4 dalam kelompok naib juara yang layak ke Piala Asia, mengikut jejak langkah Thailand, Kyrgyzstan dan India.
Kemenangan itu juga menamatkan 15 tahun kemarau selepas kali terakhir Malaysia layak beraksi di Piala Asia pada 2007.
Skuad kebangsaan mendominasi perlawanan sejak sepak mula dengan serangan bertubi-tubi ke arah gawang pihak lawan.
Dominasi itu akhirnya membuahkan hasil apabila Malaysia mendahului menerusi Safawi Rasid yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-16.
Namun, 15 minit kemudian, pasukan tuan rumah dikejutkan dengan gol penyamaan yang dijaringkan oleh pemain tengah Bangladesh, Mohammad Ibrahim.
Bagaimanapun, tidak sampai 10 minit kemudian, Malaysia kembali di depan hasil rembatan kencang Dion Cools yang menjaringkan gol pertamanya sejak mewakili negara pada Jun tahun lalu.
Dominasi Malaysia berterusan di separuh masa kedua apabila Syafiq Ahmad menanduk masuk gol ketiga buat Malaysia, hanya dua minit selepas sepak mula.
Malaysia melengkapkan kemenangan apabila hantaran Akhyar Rashid berjaya disudahkan oleh Darren Lok pada minit ke-73.
Keputusan 4-1 kekal hingga tamat perlawanan dan kemenangan itu disambut dengan meriah oleh seluruh peminat Malaysia di negara ini.