Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon menyifatkan corak permainan agresif yang diterapkan dalam setiap perlawanan membantu Malaysia layak ke Piala Asia 2023.
Ini selepas Malaysia menewaskan Turkmenistan 3-1, kalah tipis 2-1 kepada Bahrain dan menang 4-1 ke atas Bangladesh.
“Dalam beberapa perlawanan sebelum ini kita menggunakan strategi menyerang di separuh masa kedua,” kata Pan-gon dalam sidang media semalam.
“Jadi, ada masanya dalam perlawanan, kita meminta penyerang supaya lebih banyak menghasilkan serangan.
“Ini yang kita mahukan, kita cuba bina pasukan yang lebih dinamik dan mendominasi.
“Bukannya lepas jaringkan satu atau dua gol dan kemudian kita perlahankan permainan, kita tak suka itu, sebab peminat datang ke stadium dan mereka tonton sehingga 90 minit, sudah tentu mereka mahu lihat perlawanan yang dinamik.”
Katanya, strategi itu ternyata menjadi ketika Malaysia menewaskan Bangladesh.
“Separuh masa pertama mereka beraksi dengan baik, mereka dominasi perlawanan, berusaha bersungguh-sungguh, cuba menghasilkan serangan.
“Tetapi, saya rasa kita masih boleh menambah baik prestasi, kita cipta peluang tetapi apabila kita dapat peluang kita perlu menyudahkan. Itu sahaja isunya, yang lain mereka sangat bagus.
“Di separuh masa kedua, saya berkata kepada pemain, ini pesta kita, ada lebih 50,000 orang yang datang menyokong kita. Mereka mahukan perlawanan yang menarik.
“Jadi, main betul-betul dan buat perlawanan ini macam pesta. Saya galakkan mereka dan saya yakin mereka dapat melakukannya.
“Kita menguasai perlawanan, menguasai sepenuhnya bahagian serangan dan mereka memberikan yang terbaik kepada peminat.”