Malaysia Berita

Kisah MFL, Man Kidal dan Viking Clap

Pentas akhir Piala FA minggu lalu menyaksikan pasukan Kedah berjaya menjulang kejuaraan ini buat kali ke lima setelah menewaskan Perak 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Gol tunggal perlawanan yang dijaringkan oleh Fadzrul Danel hadir pada separuh masa pertama masa tambahan telah mengecewakan pasukan Perak yang mahukan piala tersebut setelah 15 tahun tidak memenangi Piala FA.

Drama dari kedua-dua pasukan telah disaksikan lebih 83,000 orang penyokong daripada kedua-dua pasukan yang hadir untuk memeriahkan lagi final kali ini.

Apa yang lebih terkesan adalah penganjuran Piala FA kali ini lebih ‘fun’ suasananya, mungkin disebabkan pihak Malaysian Football League (MFL) menggunakan petikan gitar Man Kidal sebagai muzik latar lagu Negaraku.

Tetapi apa yang pasti, sebelum Man Kidal masuk menguasai stadium dengan petikan gitar beliau, para penyokong telah memulakan lautan semangat dengan Viking Clap sehingga tercatat di dalam Malaysia Books of Record.

Berita tersebut bukan hanya belayar di Malaysia, tetapi sehingga ke Laut Mediterranean mendapat perutusan bahawa Malaysia telah mencipta rekod Viking Clap seperti yang dilaporkan The Guardian.

“83,520 yang hadir ke Stadium Nasional Kuala Lumpur untuk [menyaksikan] final Piala FA [di] antara Perak dan Kedah mengambil bahagian dalam ‘Viking Clap’, di mana Liga Malaysia telah berjaya mencipta rekod kebangsaan.” Lapor The Guardian.

Selepas di sajikan dengan Viking Clap dan penampah rasa gitar Man Kidal, permainan mahu bermula dengan kedua-dua pasukan mula bersalaman. Turut bersama mereka adalah tiga orang pengadil yang dibawakan dari Jepun atas kerjasama MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Takuto Okabe sebagai pengadil utama dan dua penjaga garisan, Yagi Akane dan Nomura Osamu berjaya mengawal perlawanan dengan cemerlang dan tidak banyak di bantah oleh para penyokong mahupun staf kejurulatihan di tepi padang.

Mereka juga telah mendapat pujian daripada kapten pasukan Kedah, Baddrol Bakthiar dengan menyifatkan Okabe telah berjaya menilai setiap insiden dengan baik dan tenang.

“Saya mahu memuji (prestasi) pengadil malam ini (semalam) kerana beliau begitu pandai mengendalikan perlawanan.

“Apa yang pasti, pemain-pemain Kedah dan Perak sedikit sebanyak dapat mempelajari sesuatu daripara beliau,” katanya ketika ditembual.

Ketiga-tiga mereka telah menjalankan tugas dengan baik dan telah meninggalkan ilmu kepada semua orang bahawa ada sesuatu yang boleh kita ambil.

Piala FA 2019 kali ini bukan hanya sekadar pertemuan di antara Perak dan Kedah, ia adalah lambang kesatuan setiap masyarakat Malaysia – biarpun berbeza pasukan, kita tetap rayakan sikap toleransi dan kebersamaan.