Liga Premier Malaysia Berita

Norizam: Kalau pengurusan mantap, pasukan pasti boleh menang

Norizam Tukiman percaya pengurusan pasukan adalah kunci kejayaan bagi sesebuah pasukan.

Ini selepas beliau mengambil alih pasukan Kelantan dan kelab Indonesia, PSPS Riau dan dalam tempoh jangka pendek, beliau berjaya menyelesaikan hampir semua hutang pasukan serta menstruktur semula pengurusan kedua-dua pasukan tersebut.

Namun, berbanding dengan pasukan lain yang akan menguatkan barisan pemain terlebih dahulu, Norizam sebaliknya menguatkan barisan pengurusan.

“Saya pesan kepada kedua-dua pasukan supaya yang pertama jagalah sistem sebelum permainan di atas padang,” katanya kepada Astro Arena.

“Kalau pengurusan itu betul, kami pasti boleh menang. Pengurusan itu membawa sampai ke padang, ia saling melengkapi.”

Norizam turut menjelaskan, beliau membuat keputusan untuk mengambil alih PSPS Riau kerana mendapati bola sepak Indonesia mempunyai potensi besar dari segi pasaran.

“Saya melihat liga Indonesia berpotensi kerana mempunyai peminat dan penyokong yang ramai.

“Mereka meminati liga tempatan 10 kali lebih gila daripada Premier League.

“Saya nampak MFL dan FAM banyak membuat penambahbaikan, di Indonesia juga buat perkara yang sama.”

Beliau juga mengakui Kelantan dan PSPS Riau akan mendapat manfaat hasil daripada pengambilalihan kedua-dua pasukan itu.

“Hari ini orang Riau dah kenal Kelantan. Saya memang ada perancangan perpindahan pemain.

“Kelantan telah pun mempunyai seorang pemain kebangsaan Indonesia, Natanael Siringo Ringo. Terdapat pemain kebangsaan Indonesia yang bermain untuk PSPS, saya nak lihat peluang dalam perpindahan pemain ini untuk menguatkan kedua-dua pasukan.

“Apabila kami ada sumber yang besar, kumpulan pemain dan dari akar umbi yang ramai, saya rasa boleh digabungkan untuk kebaikan kedua-dua kelab.”