Asia AFC Champions League

Liga Juara-Juara Asia: Morais yakin ada resipi untuk tewaskan Muangthong di Bangkok

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’azim, Ulisses Morais mengakui bahawa Muangthong merupakan pasukan yang hebat, namun dia yakin bahawa dia mempunyai resipi untuk membantu anak buahnya meraih kemenangan di Stadium Supachalasai malam esok.

Selepas Chanatip Songkrasin berhijrah ke Jepun tahun lepas, tiga lagi pemain Muangthong telah bersetuju untuk turut bermain di luar negara, termasuk Kawin Thamsatchanan, yang baru sahaja berpindah ke Liga Belgium.

Namun, Teerasil Dangda dan Teerathon Bunmathan akan turun beraksi bersama Muangthong buat kali terakhir malam esok, sebelum mereka menyertai kelab masing-masing di Jepun.

“Saya tahu kami pernah tewas di tangan Muangthong dua tahun lepas, namun skuad JDT telah berubah dengan drastik sejak itu,” ujar Morais ketika sidang media pra-perlawanan yang diadakan hari ini.

“Muangthong memang mempunyai skuad yang bagus dan mereka dijangka akan memberi cabaran yang sengit. Tetapi kami sudah bersedia untuk perlawanan ini dan pemain-pemain saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk menumpaskan Muangthong.

“Saya tak mahu fokus terhadap pemain individu. Saya menyuruh pemain saya fokus terhadap corak taktikal mereka, kerana itu perkara yang lebih penting,” tambah Morais.

Sekiranya JDT berjaya meraih kemenangan malam esok, mereka akan berdepan dengan Kashiwa Reysol dalam perlawanan play-off untuk merebut slot peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah. Perlawanan tersebut akan berlangsung di Stadium Hitachi Kashiwa pada 30 Januari.