Malaysia Liga Super Malaysia

“Harap-harap jadi kenyataan” – Safawi sedia berhijrah ke Korea Selatan

Pemain muda Johor Darul Ta’azim, Safawi Rasid bersedia berhijrah ke Korea Selatan sekiranya menerima tawaran rasmi daripada mana-mana kelab di negara tersebut.

Baru-baru ini, pakar bolasepak Asia, John Duerden mendedahkan bahawa dua kelab Korea Selatan berminat untuk menandatangani Safawi, selepas tertarik dengan persembahannya di kejohanan AFC B-23 tahun.

Tetapi menurut Safawi, dia mahu fokus terhadap Johor Darul Ta’azim buat masa ini kerana masih belum menerima sebarang tawaran.

“Walaupun sekadar khabar angin tapi ia cukup menggembirakan saya. Setakat ini belum ada mana-mana kelab Korea membuat tawaran. Tapi, saya sangat berharap ia menjadi kenyataan,” kata Safawi kepada Arena Metro.

“Buat masa ini tumpuan saya bersama JDT bagi menghadapi Liga Malaysia yang bermula minggu depan. Saya perlu fokus kerana sasaran saya merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Ia bukan mudah kerana selain perlu bersaing dengan pemain import, JDT mempunyai ramai pemain tempatan berkualiti sekali gus menjadikan perebutan tempat bertambah sengit,” tambah Safawi.

Safawi memainkan peranan yang cukup besar dalam membantu skuad Malaysia mencipta sejarah di pentas AFC B-23 tahun dan berjaya meledak dua gol.