Malaysia Liga Super Malaysia

Dominic tekad mahu balas jasa TMJ apabila pulang daripada Portugal

Bintang muda Johor Darul Ta’azim, Dominic Tan berazam untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman di Portugal sebelum pulang ke tanah air untuk membalas jasa Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail, yang merupakan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan juga pemilik JDT, membuat keputusan untuk meminjamkan Dominic Tan dan Syamer Kutty ke Vilaverdense FC untuk tempoh satu tahun dan kedua-dua pemain tersebut selamat tiba di bumi Portugal semalam.

Saya amat berterima kasih kerana diberi peluang oleh JDT dan DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk bermain di luar negara dan mendapat lebih banyak pengalaman yang saya tidak boleh dapatkan di sini,” kata Dominic Tan, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

“Saya selalu bermimpi untuk bermain di luar negara dan itulah salah satu sebab saya memilih untuk menandatangani dengan JDT… kerana bukan sahaja mereka adalah kelab terbaik di Malaysia, tetapi juga saya yakin bahawa peluang seperti ini akan berlaku.

“Saya akan melakukan yang terbaik di sana dan apabila saya kembali, saya mahu membalas semula, bermain dengan baik untuk JDT dan Malaysia,” tambah Dominic.

Baru-baru ini, Dominic Tan menjadi antara tonggak utama yang membantu skuad B-23 Malaysia melakar sejarah di China selepas berjaya layak ke peringkat suku akhir kejohanan AFC B-23 tahun.