Liga Super Malaysia

Marcote selar spekulasi misi balas dendam terhadap Johor DT

Pengendali Kedah, Ramon Marcote berpendapat bahawa pertembungan Piala Sumbangsih di antara Kedah dan Johor DT pada hujung minggu tidak wajar dipandang sebagai ‘misi balas dendam’.

Skuad Helang Merah tewas di tangan Johor DT di pentas final Piala Malaysia bulan November lepas, namun bagi Marcote, perlawanan yang akan berlangsung pada hari Sabtu ini adalah peluang untuk anak buahnya memulakan kempen Liga Super 2018 dengan langkah positif.

“Tiada dendam dalam bola sepak dan tiada perlawanan yang sama dengan satu perlawanan lain. Saya lebih suka melihat perlawanan itu sebagai aksi pertama liga yang turut memberi bonus iaitu peluang merangkul trofi,” kata Marcote kepada Berita Harian.

“Apa pun, kami tidak akan memberi laluan mudah kepada JDT dan kami akan berusaha untuk memberikan yang terbaik bagi melakar keputusan positif iaitu sekurang-kurangnya tidak pulang dengan tangan kosong pada aksi pertama musim ini.

“Walaupun beraksi di laman lawan tapi saya berpendapat JDT berdepan tekanan lebih tinggi memandangkan status mereka sebagai pasukan pilihan,” tambah Marcote.

Sabtu ini, perlawanan di antara JDT dan Kedah dijadualkan berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos pada jam 8.45 malam.