Malaysia Liga Super Malaysia

Ini misi Akhyar Rashid untuk musim Liga Super 2018 bersama Kedah

Bintang muda Kedah, Akhyar Rashid berpendapat bahawa dia masih perlu bersaing dengan pemain senior Kedah untuk peluang beraksi dalam kesebelasan pertama Kedah, walaupun berjaya menarik perhatian ramai ketika bermain untuk skuad B-23 Malaysia baru-baru ini.

Akhyar menjadi antara pemain terbaik Malaysia di kejohanan AFC B-23 tahun, di mana skuad Ong Kim Swee berjaya melakar sejarah selepas mara ke peringkat suku akhir buat kali pertama.

“Saya tidak mahu terus leka dibuai pujian yang boleh melalaikan saya dan untuk berada dalam kesebelasan utama Kedah bukanlah mudah kerana ramai pemain senior dan berbakat besar yang perlu saya rujuk seperti Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi, Syazwan Zainon selain ketua jurulatih, Ramon Marcote,” kata Akhyar, menurut laporan Arena Metro.

“Sebagai pemain muda berusia 18 tahun dalam skuad Lang Merah saya perlu pertingkatkan usaha dan bersaing pada tahap yang terbaik dalam usaha membuktikan saya layak berada dalam kesebelasan utama pasukan.

“Kelayakan beraksi dengan skuad negara sebelum ini bukanlah ‘lesen’ untuk terpilih bersama pasukan dalam liga kerana saya terlebih dahulu perlu menambat hati Marcote dengan aksi yang meyakinkan terlebih dahulu,” tambah Akhyar.

Bintang muda ini menjadi sebutan orang ramai buat kali pertama ketika Sukan SEA yang diadakan di Kuala Lumpur, tahun lepas. Dia kemudiannya membantu skuad B-19 negara melayakkan diri ke kejohanan AFC B-19 tahun, yang dijadualkan berlangsung di Indonesia pada hujung tahun ini.