Liga Super Malaysia

Rasmi: Van Quyet tidak jadi ke Kedah, sah kekal bersama Hanoi FC

Hanoi FC telah menamatkan segala spekulasi berkenaan masa depan Nguyen van Quyet melalui kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook mereka hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, Van Quyet sah akan kekal bersama Hanoi FC untuk musim 2018, selepas membuat keputusan untuk menolak tawaran pasukan Kedah.

Baru-baru ini, Hanoi FC mendedahkan bahawa mereka bersetuju untuk melepaskan Van Quyet secara pinjaman untuk satu tahun, atas permintaan pemain itu sendiri.

Muangthong United dan Kedah menjadi dua pasukan yang membuat tawaran, namun menurut laporan media di Vietnam, Van Quyet lebih ingin berhijrah ke Malaysia.

Kapten skuad kebangsaan Vietnam itu dilaporkan telah berjumpa dengan wakil pihak pengurusan Kedah FA di Vietnam, namun gagal mencapai kata sepakat sepanjang proses perundingan tersebut.

Keputusan ini bermaksud Kedah perlu mengubah fokus mereka terhadap calon import ASEAN yang lain kerana jendela perpindahan Liga Super akan ditutup dalam masa dua minggu lagi.

Setakat ini, skuad Helang Merah mengandungi empat awang import – Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva dikekalkan daripada skuad musim lepas manakala Alvaro Silva dan Pablo Pallares pula dibawa masuk minggu lepas.