Liga Super Malaysia

Datuk Subahan Kamal jelaskan kenapa Selangor mahu beraksi di Stadium Cheras

Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Subahan Kamal telah mendedahkan sebab mereka mahu beraksi di Stadium Cheras untuk tahun ini.

Buat masa sekarang, Selangor dijangka akan beraksi di Stadium Selayang, namun mereka telah memohon kepada FMLLP untuk menjadikan Stadium Cheras gelanggang rasmi mereka kerana ia mampu membantu kutipan tiket.

Lampu limpah di Stadium Selayang tidak menepati tahap yang ditetapkan oleh FMLLP, jadi Selangor akan terpaksa bermain di belah petang sekiranya lokasi tersebut menjadi gelanggang rasmi mereka.

“Kami juga tidak boleh memilih beraksi di mana-mana tak kira di Selayang atau Cheras. Sudah tentu Stadium Cheras pilihan terbaik kerana kami boleh beraksi pada sebelah malam sekali gus membantu kutipan tiket,” kata Subahan kepada Arena Metro.

“Jika kami beraksi di Selayang, kami terpaksa bermain pada sebelah petang kerana lampu limpahnya tidak menepati piawaian,” katanya.

Subahan Kamal turut menyatakan kekecewaan terhadap kerajaan negeri Selangor yang masih enggan membuka peluang kepada skuad Selangor untuk kembali beraksi di Stadium Shah Alam.

“Selangor kini dilayan seperti pengemis di negeri sendiri. Saya berpendapat tidak adil untuk kerajaan negeri menyatakan Stadium Shah Alam adalah milik mereka sedangkan ia milik rakyat Selangor,” kata Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal ketika dihubungi hari ini.

“Kami mahu ‘balik kampung’ pada tahun ini selepas beraksi di Selayang musim lalu, namun hasrat tidak kesampaian kerana kerajaan negeri tidak membalas sebarang surat permohonan yang dikemukakan.

“Mereka juga tidak mahu bertemu kami untuk mengadakan perbincangan. Bukannya kami mahu beraksi secara percuma di Stadium Shah Alam kerana kami turut diminta bayar untuk menggunakan stadium itu sebelum ini,” tambah Subahan.

Penyokong Selangor, apa pandangan anda tentang krisis ini?